Sunday, October 18, 2015

Taman Tamadun Islam Bakal Dijadikan Lokasi Kursus Haji Perdana - MB Terengganu


KUALA NERUS : Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu akan dijadikan sebagai lokasi kursus haji perdana setiap tahun, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata ini kerana TTI mempunyai sebuah dewan besar yang mampu menampung sehingga 3,000 jemaah, selain replika masjid seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabi yang boleh dijadikan panduan kepada bakal jemaah.

"Kita minta Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) buat persediaan dan penelitian serta tambah mana-mana yang perlu dalam usaha kita menjadikan TTI sebagai tempat kursus haji perdana yang utama.

"Kita juga buka penyertaan kepada bakal jemaah haji dari luar Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 279 jemaah haji penerbangan kedua di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Pada musim haji tahun ini seramai 1,394 jemaah dari Terengganu, Kelantan dan Pahang menunaikan fardu haji melalui lapangan terbang itu.

Daripada jumlah itu seramai 1,103 jemaah dari Terengganu, 194 (Kelantan), 71 (Pahang) dan 26 orang dari lain-lain tempat.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan membina beberapa buah hotel dan tempat penginapan bagi memudahkan orang ramai terutamanya pelancong ke negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat menjadikan TTI sebuah taman berkonsepkan Pelancongan Islam dan projek itu akan dilaksanakan di bawah kelolaan Terengganu Inc tahun depan. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment