Wednesday, October 21, 2015
Terengganu Ambil Langkah Segera Atasi Kemalangan Maut Di LPT 2
HULU TERENGGANU : Kerajaan Terengganu akan mengambil beberapa langkah
segera bagi mengelakkan kes kemalangan maut berterusan di Lebuhraya
Pantai Timur 2 (LPT 2).
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata
antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk meletakkan pasukan Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sepanjang laluan tersebut.
Katanya langkah lain yang akan dicadangkan ialah memperbanyakkan papan
tanda amaran dan meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal
pasti kawasan berisiko serta mencadangkan pihak polis memasang
perangkap had laju.
"Langkah yang dilaksanakan ini bagi memberi peringatan kepada pengguna
dan sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya kepada
pemberita selepas mengadakan taklimat di Plaza Tol Ajil di sini, Isnin.
Pada majlis itu juga turut diadakan solat hajat yang turut disertai
kira-kira 300 orang termasuk Menteri Besar, exco kerajaan negeri,
pelajar tahfiz serta penduduk kampung.
Menurut Ahmad Razif faktor kelalaian antara punca yang dikenal pasti
berlakunya kemalangan maut sehingga meragut banyak nyawa dan kebanyakan
kes itu berlaku pada waktu siang.
Katanya laporan LLM dan polis mendapati 70 peratus kemalangan berlaku
kerana kecuaian pengguna, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan
peratus permasalahan kenderaan dan lain-lain kes.
"Kita dapati faktor utama akibat kelalaian dan bukannya faktor jalan
serta kebanyakan kes itu berlaku pada jalan yang lurus dan pada waktu
siang," katanya.
Bagaimanapun kerajaan negeri memberi jaminan laluan sepanjang LPT 2 itu
selamat digunakan dan kawasan beralun juga telah diperbaiki.
Ahmad Razif berkata jumlah kenderaan juga bertambah dan hampir 25 ribu kenderaan menggunakan lebuh raya tersebut setiap hari.
Jelas beliau, pihaknya akan memastikan elemen keselamatan terus
dipertingkatkan termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk di
kawasan rawat dan rehat (R and R) beroperasi bagi memberi keselesaan
kepada pengguna.
"Kita menolak dakwaan lebuh raya ini tidak selamat digunakan...jika ia
ditutup akan menimbulkan kesulitan serta menimbulkan persepsi negatif.
Mengikut statistik PDRM sehingga 16 Oktober sebanyak 82 kes kematian
telah direkodkan di sepanjang laluan tersebut melibatkan 1,989 kes
kemalangan.
Jumlah tersebut tidak termasuk 3 kes maut pada 18 dan 19 Oktober.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment