Saturday, October 17, 2015
Tiada Perdamaian Bagi PAS Dan Amanah
Amat sukar membayangkan bagaimana atas nama Islam, PAS dan juga Parti
Amanah Negara (Amanah) boleh bekerjasama demi memperjuangkan Islam dan
ummatnya di negara ini dalam tempoh yang terdekat.
Nampaknya kedua-dua pihak belum bersedia duduk semeja untuk merintis
jalan perdamaian dan kerjasama. Yang lebih ketara ialah, masing-masing
lebih rajin mencari perbezaan di antara mereka daripada persamaan.
PAS Perak, misalnya, masih sukar menerima hakikat bahawa parti Amanah
yang mendakwa berteraskan ajaran Islam itu kini sudahpun wujud dan
hampir menjadi entiti politik yang sah.
Justeru itu, ia masih mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen
Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof, meletak jawatan sebagai wakil
rakyat.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata desakan itu dibuat
selaras dengan lafaz baiah atau perjanjian dibuat mereka dengan PAS yang
menyatakan akan mengosongkan kerusi mereka jika lompat parti.
Katanya, keputusan mendesak mereka mengosongkan kerusi wakil rakyat itu
dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perak
kelmarin.
"Kegagalan kedua-duanya yang kini menjadi tonggak Amanah mematuhi ba’iah
menunjukkan mereka sebagai tidak amanah dalam menunaikan janji yang
dibuat tanpa paksaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu," katanya.
Sehubungan itu Razman berkata, PAS Perak sudah mengenalpasti calon
sekiranya berlaku pertarungan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil di
kedua-dua kawasan itu.
Di samping itu, kepimpinan Pemuda Amanah juga tidak berdiam diri. Ia
turut menyindir dan menyakat PAS supaya “hilang sabar dan pengaruh” di
mata awam.
Secara langsung Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, “mencabar”
PKR supaya berhenti memujuk PAS menyertai Pakatan Harapan yang baru
ditubuhkan.
Beliau berkata, PAS mengkhianati PKR apabila ia meletakkan calon di lima kerusi yang ditandingi PKR dalam pilihanraya umum lalu.
Faiz mendakwa bahawa PAS juga mengkhianati PKR tahun lalu apabila ia
menolak pencalonan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai menteri besar Selangor.
Beliau juga mengungkit hakikat bahawa PAS enggan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II.
"Bersediakah PKR untuk dikhianati lagi oleh PAS? Apakah jaminan PAS akan
komited mengelak pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi PKR?
"Adakah PAS bersetuju menerima Anwar Ibrahim sebagai calon perdana
menteri walaupun sedar mereka sendiri tidak mampu mencadangkan calon
yang setanding Anwar Ibrahim?
"Adakah PAS juga akan menjunjung persetujuan dan berpegang kepada dasar bersama yang akan dirangka?," sindir Faiz.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang
menyatakan keyakinan partinya akan terus mendapat kerjasama daripada PAS
walaupun parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan.
"PKR mahu bekerjasama dengan PAS, Amanah, DAP dan saya percaya DAP, PAS dan Amanah boleh menjalin kerjasama kelak,” kata Azmin.
Namun kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu memburukkan lagi keadaan
apabila beliau meminta pihak tertentu supaya berhenti menggelar partinya
sebagai parti 'kafir' dan menyimpang.
Menurutnya, tindakan itu dikhuatiri menyebabkan perbalahan sesama masyarakat Islam berbeza fahaman politik di negara ini.
"Seperti yang kita lihat di Iraq, Afghanistan dan Somalia, kesemua
penindasan dan peperangan adalah berpunca daripada perang saudara yang
kemudiannya ada campur tangan pihak Barat.
“Jika mahu mengelak daripada terjadinya perkara tersebut, kedua-dua
pihak haruslah memainkan peranan yang penting dan bersikap lebih
positif,” katanya.
Bagaimanapun kenyataan Mat Sabu itu dipertikaikan Ketua Penerangan Pas
Pusat, Nasrudin Hassan yang menganggap tuduhan itu serius.
Menerusi status Facebooknya, Ahli Parlimen Temerloh itu menulis bahawa
isu yang dibangkitkan oleh Mat Sabu itu menuntut jawapan.
“Pas kata ahli Amanah kafir? Siapa? Bila? Di mana? Tuduhan serius ini!” tulisnya.
Nasrudin juga mempersoalkan kenyataan Timbalan Presiden Amanah,
Salahuddin Ayub yang mendakwa 60 peratus daripada 50,000 ahli Amanah
adalah bekas pemimpin Pas
“Enam puluh peratus daripada 50,000 ahli Amanah adalah bekas pimpinan
Pas? Ini bersamaan 30,000 orang. Pas ada 193 kawasan dan ini bermakna
Pas kehilangan 30,000 pimpinan.
“Ini juga bermaksud secara purata, setiap kawasan kehilangan 155
pimpinan. Kalau berdasarkan dakwaan itu, semua kawasan Pas telah ditutup
seluruh negara. Suatu kenyataan yang tidak munasabah,” katanya.
PAS sebelum ini telah beberapa kali mengulangi pendirian tidak mahu menjalin kerjasama dengan Amanah dan DAP.
Sesungguhnya gelagat PAS mahupun Amanah ini dilihat tidak mungkin
membantu menyemai bibit persaudaraan dan kasih sayang sesama ummat
seperti yang dianjurkan Islam.
Malah sebaliknya, pertembungan orientasi dan pendekatan kedua-dua parti
ini hanya menjanjikan kedudukan Islam akan semakin parah di negara ini.
Jika PAS dan Amanah sibuk melebarkan perbezaan pendekatan dan uslub
dakwah mereka, masyarakat Islam akan bertambah keliru dan mendorong
kedua-duanya mengalami kekalahan mudah di tangan BN.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment