Wednesday, October 14, 2015
Wahid : TPPA Buka Lebih Banyak Peluang Kembangkan Perniagaan
KUALA LUMPUR : Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan
membuka lebih peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi
aktiviti perniagaan mereka di luar negara jika Malaysia bersetuju
menandatangani perjanjian tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) antara bidang
yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi
dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.
“Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus
hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan
terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya
Amerika Syarikat.
“Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi
kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi
negara,” katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab terbitan
TV3 berkaitan topik, ‘Ekonomi Negara’ malam tadi.
Wahid berkata persetujuan penglibatan Malaysia dalam TPPA akan turut
mengurangkan kos struktur perniagaan apabila terdapat produk luar yang
dibenarkan masuk ke dalam negara.
Beliau turut menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa
Malaysia adalah ‘pak turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju
menandatangani perjanjian tersebut.
“Sebagai negara terawal terlibat dalam perjanjian tersebut, ia
membolehkan Malaysia meningkatkan profil negara serta daya tarikannya
terhadap pelabur asing.
“Selain itu, antara kelebihan menjadi antara negara terawal dalam
TPPA ialah membolehkan kita merundingkan terma yang sesuai dan terbaik
untuk negara termasuklah mengambil kira eksklusiviti dan dasar
Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed mewakili Malaysia dalam rundingan TPPA yang dirumuskan baru-baru
ini, dan bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan
sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan,
perusahaan milik negara dan Bumiputera.
Beliau bagaimanapun menegaskan akan membuat perbincangan terperinci
dalam sidang parlimen sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
Terdapat 12 negara TPPA iaitu lima negara daripada benua Amerika;
Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru dan Chile, empat negara ASEAN;
Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dan tiga negara lain iaitu
Jepun, Australia dan New Zealand.
12 negara ini menyumbang 40 peratus kepada ekonomi dunia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment