Wednesday, October 21, 2015
YB Phahrolrazi Serah Surat Rasmi Kepada Speaker DUN Kedah Tentukan Kedudukan Kerusi
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, YB Datuk
Phahrolrazi Zawawi hari ini telah menyerahkan surat rasmi kepada Speaker
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Md Rozai Safian di Wisma Negeri
Kedah bagi memaklumkan beliau bukan lagi ADUN PAS, sebaliknya telah
berpindah ke Parti Amanah Negara (Amanah).
Beliau berkata tujuan surat rasmi dihantar bagi memudahkan speaker DUN
mengatur kedudukan kerusi tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) pada sidang
DUN yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Nov ini.
Sebelum ini, tempat duduk Phahrolrazi bersama dengan sembilan ADUN PAS,
namun bilangan ADUN PAS berkurangan satu kerusi selepas beliau menyertai
parti Amanah dan Pakatan Harapan.
Kedudukan PKR dan DAP yang sebelum ini berjumlah enam kerusi bertambah
satu lagi kerusi dengan penyertaan Phahrolrazi dari parti Amanah.
ADUN-ADUN Pakatan Harapan dalam DUN Kedah adalah; Tan Kok Yew
(DAP/Derga), Teoh Boon Kok (DAP/Kota Darul Aman), R Krishnamoorthy
(PKR/Bukit Selambau), Ooi Tze Min (PKR/Batu Arang), Robert Ling Kui Ee
(PKR/Sidang), Azman Nasruddin (PKR/Lunas) dan Phahrolrazi
(Amanah/Pengkalan Kundor).
Walau bagaimanapun, Phahrolrazi dilaporkan Bernama berkata jawatan Ketua
Pembangkang masih lagi milik PAS yang mempunyai 8 kerusi DUN berbanding
Pakatan Harapan 7 kerusi.
Phahrolrazi berkata ADUN PAS yang berpindah parti kepada Amanah sebelum
ini bersepakat bahawa mereka tidak meletak jawatan sebagai ADUN kerana
mengambil kira pelbagai aspek.
“Kalau di tempat PAS bertanding, PKR dan DAP akan sokong calon PAS disebabkan Pakatan Rakyat,” katanya.
Selaras dengan semangat Pakatan Harapan, Phahrolrazi berkata Kerajaan
Negeri Selangor juga perlu meniru langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Menurutnya, penubuhan Pakatan Harapan itu tidak akan menggugat kedudukan
kerajaan negeri Selangor untuk terus mentadbir negeri itu kerana
majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai PKR dan DAP.
“Kita perlu wujudkan dengan segera pakatan tersebut sebagai contoh kepada rakyat ketika pilihan raya nanti,” katanya.
Kedudukan kerusi DUN Selangor kini mengalami perubahan selepas dua ADUN
PAS, YB Saari Sungib (Hulu Kelang) dan YB Hasnol Baharuddin (Morib)
berpindah parti menyertai parti Amanah.
Manakala seorang lagi ADUN PKR, YB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi ADUN bebas selepas beliau dipecat keahlian parti.
Kedudukan terkini DUN Selangor; DAP 15, PKR 13, PAS 13, Amanah 2, Bebas 1 dan BN 12.
Kolumnis Antarapos meramalkan kedudukan dua ADUN Amanah, Saari dan
Hasnol dalam sidang DUN Selangor yang bermula 30 Oktober hingga 13
November depan adalah petunjuk hala tuju Pakatan Harapan di negeri itu.
“Adakah mereka duduk di kerusi dalam barisan kerajaan atau pembangkang?
Atau, adakah mereka akan menemani ADUN dari Pelabuhan Kelang, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim sebagai ADUN bebas?
“Jika mereka dikira sebagai pembangkang, maka sudah tentu mereka akan
duduk sebaris dengan wakil-wakil rakyat UMNO yang membentuk sektor
pembangkang dalam Dewan Negeri,” ulas Lokman Ramlee.
Kedudukan Saari dan Hasnol itu bakal ditentukan Menteri Besar Selangor,
Mohamed Azmin Ali (PKR) dan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh (DAP).
“Persoalannya, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang juga Timbalan
Presiden PKR mahu mengikut protokol politik yang mana – mengutamakan
wakil-wakil rakyat dari parti yang membentuk kerajaan sedia ada (iaitu
PKR, DAP dan PAS) atau menghormati ahli baru Pakatan politik nasional,
Amanah?
“Agak pelik keadaannya jika ada wakil kerabat Pakatan Harapan diletakkan
bersama wakil-wakil UMNO sebagai pembangkang atau dianggap wakil yang
tidak berparti seperti Tan Sri Khalid. Jika demikian, tidakkah itu
bermakna Azmin tidak mengiktiraf Amanah?
“Jika mereka diletakkan di barisan kerajaan, tentu itu akan menyinggung
sensitiviti PAS. Kedua-dua bekas wakil rakyat PAS itu kini dianggap
“pengkhianat” oleh PAS.
“Sudah pasti PAS akan tidak selesa dan perlu membuat protes terbuka
berhubung isu tempat duduk Hasnol dan Saari jika diletakkan sebaris
mereka sebagai wakil-wakil kerajaan.
“Kedudukan mereka dalam sidang Dewan akan datang menarik perhatian
kerana ia membayangkan sama ada penubuhan barisan Pakatan Harapan oleh
parti-parti pembangkang sudah mula berkuatkuasa atau tidak,” ulasnya
lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment