Thursday, October 01, 2015
Zahid Selar Pengkritik Tidak Hargai Usaha Kerajaan Sediakan Perkhidmatan Terbaik
PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi hari ini menyelar pihak-pihak yang hanya pandai mengkritik
kerajaan dan tidak menghargai usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan
terbaik untuk rakyat.
Beliau berkata pihak berkenaan layak digelar golongan jumud yang
hanya tahu menikmati kemudahan yang disediakan tetapi tidak pernah
berterima kasih kepada kerajaan.
Sebagai contoh, katanya kerajaan menyediakan lebih RM300 juta setiap
tahun menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membiayai urusan
pendaftaran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada penduduk
negara ini.
“Masih ramai lagi yang tidak tahu bahawa dokumen pengenalan diri ini
seperti MyKid dan MyKad mendapat subsidi kerajaan. Kos bahan mentah
untuk MyKid adalah RM9.05 sekeping namun dikeluarkan secara percuma.
“Kos bahan mentah MyKad RM22.80 sekeping walaupun bayaran hanya RM10.
Mana ada kerajaan yang ‘berniaga’ begini. Itupun tidak dihargai
sebaliknya hanya tahu mengkritik sahaja,” katanya ketika berucap
merasmikan Hari JPN di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata malah, beberapa
negara luar seperti Tanzania dan Uganda telah mengunjungi JPN untuk
mempelajari perancangan dan pelaksanaan sistem pendaftaran negara kita.
“Kenapa negara luar boleh menghargai kejayaan kita, tetapi segelintir
rakyat Malaysia yang menerima perkhidmatan terbaik tidak menghargai
kita dan tidak berterima kasih kepada JPN.
“Jadi, kita beritahu pengkritik kerajaan, sedarlah bahawa kerajaan
sentiasa melakukan terbaik untuk rakyatnya. Jangan mengkritik sahaja dan
ketahuilah bahawa tidak ada negara lain secepat JPN dalam memproses
dokumen peristiwa penting,” jelasnya.
JPN menyediakan perkhidmatan kaunter 365 hari setahun dari pagi
hingga ke malam di 228 cawangannya di seluruh negara termasuk di 10
Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar
(RTC).
Proses pengeluaran sijil kelahiran dan kematian mengambil masa 20
minit, MyKid (satu jam) dan MyKad dalam 24 jam di 45 cawangan JPN
termasuk di Putrajaya dan semua cawangannya di Pusat Transformasi Bandar
(UTC).
“Setiap hari, lebih kurang 19,000 permohonan berkaitan dengan
perkahwinan, kelahiran, kematian, dan kad pengenalan diterima di semua
cawangan JPN atau melalui program turun padang.
“Angka ini boleh meningkat hingga 23,000 setiap hari semasa musim
perayaan atau cuti sekolah.
Sejumlah 5.69 juta permohonan diproses oleh
JPN pada tahun lepas, peningkatan hampir 11.2 peratus berbanding tahun
2013,” katanya.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid juga menyampaikan kad pengenalan Warga
Malaysia-Evolusi Dokumen Pengenalan diri, sijil pengupacaraan
perkahwinan dan dokumen pengenalan diri kepada 30 penerima.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment