Thursday, October 01, 2015
Kerajaan Akan Umum Angka Bajet 2016 Lebih Tinggi, Kata Ahmad Husni
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan mengumumkan angka Bajet 2016 yang
lebih tinggi berbanding 2015 berikutan kepentingannya sebagai tahun
permulaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) selain memacu ekonomi
domestik.
Sambil menegaskan ia hanya membabitkan kenaikan kecil, Menteri
Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah turut menyifatkan Bajet
2016 sebagai mencabar akibat ketidaktentuan ekonomi global dan pada
masa sama perlu memastikan matlamat kemakmuran rakyat dapat dicapai.
“Kita telah merangka bajet itu tetapi pada masa sama perlu meneliti
kesemua isu yang dibangkitkan kementerian-kementerian lain (sebelum
memuktamadkannya),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran
Skim Perumahan Belia (SPB) di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Husni, selepas mengambil kira perkembangan semasa, Bajet
2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,
akan menyaksikan peruntukan lebih besar bagi perbelanjaan pembangunan
serta pengurangan perbelanjaan mengurus bagi mengimbangi defisit bajet
berkenaan.
Kerajaan turut mengkaji semula defisit fiskal negara kepada nisbah
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 3.2 peratus
berbanding sasaran awal sebanyak tiga peratus akibat cabaran yang
melanda persekitaran global, katanya.
Sementara itu, program SPB itu ditawarkan khusus bagi pasangan muda
sudah berkahwin dengan gabungan pendapatan isi rumah tidak melebihi
RM10,000 dan bertujuan membantu mereka memiliki rumah pertama.
Bank Simpanan Nasional selaku institusi perbankan tunggal melaksankan
skim berkenaan, akan menawarkan kemudahan pinjaman perumahan RM100,000
hingga RM500,000 dengan tempoh bayaran balik 35 tahun atau usia 65
tahun, tertakluk yang mana lebih awal.
Kerajaan turut menawarkan bantuan bulanan RM200 bagi dua tahun
pertama pembayaran pertama untuk membantu pasangan terbabit melunaskan
pinjaman mereka.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment