Thursday, October 01, 2015
Tiada Wang Atau Dana Awam Dibelanjakan Bagi Resepsi Perkahwinan – Zahid
PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi hari ini menegaskan beliau tidak membelanjakan apa-apa wang atau
mengeluarkan dana awam bagi resepsi perkahwinan anak lelakinya di
Indonesia.
Ahmad Zahid berkata resepsi itu dianjurkan oleh besan beliau, seorang
ahli perniagaan, sebaik mengetahui bahawa beliau (Zahid) akan melakukan
lawatan rasmi ke negara berjiran itu dari 18 hingga 21 Sept.
“Anak lelaki saya berkahwin dengan seorang gadis Indonesia di Kuala
Lumpur sebelum itu. Kemudian, besan saya, yang mendapat tahu tentang
lawatan rasmi saya, menganjurkan resepsi bagi anak perempuannya untuk
diadakan pada petang 19 Sept.
“Saya tidak membelanjakan apa-apa wang dalam penganjuran resepsi
perkahwinan itu sebab ia bukan majlis saya. Ia (majlis) besan saya,”
katanya.
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita ketika diminta mengulas komen
seorang penulis blog, Shahbudin Husin, yang mempersoalkan pengaturan
masa lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia, yang berbetulan dengan
resepsi itu.
“Saya tidak menggunakan atau menyalahgunakan dana awam,” kata Ahmad
Zahid, dan menambah, Shahbudin, yang dikenalinya sejak 1987, sepatutnya
berjumpa beliau untuk mendapatkan penjelasan, bukan mempersoalkannya
secara terbuka.
Semalam, Shahbudin dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia di Cyberjaya untuk dirakam keterangannya berhubung
tulisan dalam blognya itu.
Dia disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998, yang meliputi penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan
rangkaian.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000, penjara
dua tahun atau kedua-duanya sekali, dan selanjutnya denda RM1,000 bagi
setiap hari apabila kesalahan itu terus dilakukan selepas individu
terbabit disabitkan kesalahan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment