Dalam artikel yang bertajuk ‘Hati terusik bila siswa makan sehari sekali’, penulis dapat bayangkan bahawa motif penulisan tersebut adalah berkisar tentang kehidupan pelajar di IPT yang kononnya terjejas gara-gara kenaikan kos sara hidup.
Katanya dalam penulisan tersebut, hatinya selaku ketua pelajar ‘terusik’ kerana ada siswa-siswi yang makan sehari sekali. Tapi katanya pula, ada pula pelajar yang hantar wang pulang ke kampung untuk menampung kos sara hidup yang meningkat.
Rata-rata penulisannya menyentuh kesusahan mahasiswa di IPT yang dikatakan terjejas teruk kerana kos sara hidup yang meningkat sekaligus membebankan mereka. Malah meskipun diberi kad siswa dan baucar buku, ia tidak cukup bagi Muhaiman Amin.
Pertamanya, saya bersimpati dengan ‘nasib malang’ mahasiswa di zaman ini yang derita gara-gara kenaikan kos sara hidup. Tidak dinafikan, memang ada yang makan sehari sekali, itupun hanya berlaukkan telur dan kuah.
Bukan apa, nasib ‘malang’ mahasiswa zaman sekarang adalah amat berbeza dengan mahasiswa sezaman dengan saya dulu…
Dulu di zaman 1980’an, sememangnya hidup mahasiswa sangat ‘mewah’. Semua siswa dan siswi diberi biasiswa lumayan. Ada yang dapat ‘RM2 juta’ setahun, namun rata-ratanya terima ‘RM1.5 juta’ setahun. Selain itu, kami semua dulu makan ‘1,000 kali’ sehari. Telur dan kuah? Selalunya kami makan ‘lobster’ dan ‘steak’ setiap hari. ‘Hebat’ bukan?
Pada pandangan saya, mungkin Muhaimin baru hendak ‘kenal dunia’. Masih mampu makan sehari sekali, tapi sudah pandai hantar keluhan di media. Kononnya prihatin sebagai ketua? Mahu sokong GAMIS buat ‘demo’?
Untuk pengetahuan Muhaimin, mahasiswa dulu jauh lebih perit kehidupannya. Ada yang ditawar biasiswa yang cukup-cukup makan, ada yang tidak. Yang tidak dapat biasiswa itu sudah tentu lebih perit. Di zaman kami tiada sebarang pinjaman ditawarkan seperti sekarang…
Kami dulu ada yang tidak makan dua tiga hari. Ada yang makan sisa kawan yang bersimpati. Malah ada yang terpaksa berhenti belajar di menara gading kerana tidak mampu membiayai kos hidup sebagai pelajar. Hendak ‘photostate’ nota pun terpaksa tebal muka berhutang pada rakan…
Kami dulu tidak mampu miliki telefon bimbit walau sudah terbit pelbagai model. Hanya telefon awam di lobi kolej yang kami gunakan. Itupun perlu beratur. Data internet? Kami gunakan internet di makmal komputer saja, percuma.
Berapa ramai siswa-siswi yang berjalan kaki dan berpeluh-peluh seperti kami ketika tiba di dewan kuliah dulu? Kita boleh lihat kini ramai yang berkereta, bermotorsikal dan berbasikal. Kami dulu hendak beli basikal pun tidak mampu…
Berapa kali seminggu siswa dan siswi makan di restoran makanan segera seperti McDonalds, KFC dan Pizza? Berapa kerap menonton wayang dengan awek dan teman lelaki? Nampak asyik sungguh berdua ke hulu ke hilir bersama pasangan dengan kenderaan masing-masing…
Kami dulu tidak sedikit pun mengeluh. Malah kesusahan itulah yang membuat kami lebih akrab membantu antara satu sama lain, susah sama susah, senang sama senang, hingga berjaya menerima segulung ijazah.
Kami tidak pernah merengek-rengek, mengada-ngada meminta itu dan ini. Setakat makan sebuku roti secara berjimat, ia mampu bertahan selama 2-3 hari. Nasi dan telur adalah perkara biasa bagi kami. Kami tidak berdemo kerana nasi dan telur…
Kami tidak menuding jari pada Lembaga Zakat, Kerajaan atau PTPTN. Ada di kalangan kami yang menerima biasiswa yang ditukar kepada bentuk pinjaman di tahun akhir, namun rakan kami itu elok saja lunaskan pinjaman tersebut. Tidak pula dia mengada-ngada minta mansuhkan.
Ada juga rakan kami yang hantar sedikit wang biasiswanya ke kampung untuk menampung kehidupan keluarganya yang miskin. Tapi dia atau kami sendiri tidak pula bising di media tentang kos sara hidup yang membebankan kami ketika itu. Kenapa agaknya?
Majlis Perwakilan Pelajar tiada dana untuk buat program? Mahukan dana? Kami dulu cari sendiri. Jika tiada peruntukan, kami jana sendiri. Kami usahakan menerusi pelbagai kaedah.
Dapat kad siswa dan baucar buku, tapi mahu diperluas kepada peralatan kursus yang lain?
Kita memeng mengakui kos sara hidup meningkat. Tapi jika mahasiswa di zaman ini hanya tahu mengeluh, komplen itu dan ini, menyalahkan pihak tertentu dan bersikap seperti ‘anak burung’, tahap IQ sebegitu hanyalah ditahap budak sekolah menengah rendah saja.
Jadi, mungkin kerana itulah ramai yang mengatakan bahawa kualiti mahasiswa di zaman ini hanya tahu ‘bercakap’ dan ‘komplen’ saja, tapi tidak efisien dalam tindakan dan tidak memiliki daya pemikiran yang mematangkan diri, kan? Harap berubah…
No comments:
Post a Comment