Monday, January 25, 2016
Waspada Viral Yang Mengundang Fitnah
Media sosial adalah medium paling berpengaruh dalam menyebarkan
maklumat. Adakalanya maklumat dikongsi sama ada dalam bentuk video,
berita atau imej mendapat perhatian ramai sehingga menjadi viral.
Maklumat yang menjadi viral boleh jadi betul atau palsu. Jika perkara
yang baik diviralkan pastinya kita akan mendapat manfaat dan pahala
berterusan sampai akhirat namun jika perkara itu tidak tepat boleh
sahaja mengundang fitnah dan dosa sehingga akhirat.
Lebih buruk jika tidak diurus dan dipantau dengan baik mampu mendatangkan suasana bahaya.
Segelintir individu yang gemar menyebarkan maklumat, berita, cerita dan
video-video yang tidak baik, malah apa sahaja yang dilihatnya di media
sosial pantas sahaja jari-jemarinya menekan butang share tanpa usul
periksa.
Kadang-kadang perkara yang dikongsi itu tidak langsung ada kena-mengena
dengannya. Apabila diviralkan benda tidak elok sebegini secara tidak
sedar kita telah menunjukkan keburukan akhlak kita.
Hasilnya bukan sahaja maklumat diviralkan itu mengundang dosa dan
fitnah malah bagi yang gagal mengawal emosi mendorong reaksi caci-maki
dan tokok-tambah cerita. Hari ini dosa dan fitnah boleh beranak-pinak
dengan cepat.
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu pesat
sememangnya telah membuka peluang amat besar kepada individu tidak
bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu.
Golongan ini sentiasa menanti peluang dan ruang untuk mencapai keinginan
mereka. Mereka akan merasa puas apabila sesuatu berita itu yang tidak
benar tersebar.
Dengan adanya telefon pintar dan tablet memudahkan lagi perkongsian
sesuatu maklumat tersebar dengan cepat menerusi grup WhatsApp, Telegram
dan WeChat yang diwujudkan.
Bayangkan jika satu-satu grup itu terdiri daripada 100 ahli, berapa
ramai akan mendapat berita palsu atau imej-imej memalukan individu
tertentu jika dikongsi pula dengan grup-grup lain?
Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa “Sesiapa yang menutup aib
seorang Muslim, Allah pasti menutup aibnya di dunia dan akhirat.” Apakah
tawaran itu tidak lumayan buat kita?
Sewajarnya sebagai seorang Muslim kita harus menggunakan kemajuan
teknologi komunikasi ini sebagai medan untuk berdakwah secara berhikmah.
Meskipun media sosial ini dianggap khazanah yang menyajikan beraneka
jenis maklumat, namun ada maklumat yang perlu diproses dan ditapis
terlebih dahulu.
Dalam menentukan keutamaan maklumat ini telah dijelaskan oleh al-Quran
melalui firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman,
jika datang kepada kamu orang fasiq membawa sesuatu berita, maka
selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang
kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat: 6).
Ayat tersebut menuntut agar kita menyelidik terlebih dahulu sumber
maklumat sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya. Memang benar,
kita boleh membaca dan mendengar semua berita tetapi tidak semua cerita
atau berita itu kita boleh kongsikan.
Kita perlu menapis terlebih dahulu apa yang kita dengar dan lihat serta
berfikir sebelum berkongsi dengan rakan-rakan lain di laman sosial.
Manakala sebarang maklumat yang menyeleweng serta bahan-bahan paparan
yang memberi kesan negatif kepada fikiran perlu dihindarkan.
Dalam menangani hal ini kita mengharapkan agar masyarakat khasnya
pengikut laman sosial sewajarnya lebih rasional apabila berhadapan
dengan beberapa isu dan maklumat yang belum tentu kesahihannya.
Kita perlu sentiasa diingatkan supaya sebelum berkongsi apa jua
maklumat dengan rakan-rakan kita perlu tahu bahawa sumber tersebut
diyakini kebenaran dan kesahihannya terlebih dahulu. Di sinilah peranan
kita untuk terlebih dahulu merujuk sumber yang dinyatakan atau tunggu
kenyataan rasmi sebelum menyebarkan sesuatu perkara.
Selain itu, ilmu agama yang dimiliki turut memainkan peranan penting
yang boleh bertindak selaku sistem penapis dalam membentuk minda yang
sihat dan sejahtera. Dengan adanya ilmu agama kita bukan sekadar
menjadi pengguna dan pengikut media sosial yang biasa-biasa sahaja
bahkan mampu untuk berjihad.
Berjihadlah dengan penuh berhikmah dengan menyaring terlebih dahulu
segala maklumat; tidak semua maklumat boleh diterima bulat-bulat dan
terus disebarkan. Kita juga perlu ingat anggota kita ini akan menjadi
saksi semasa di akhirat.
Dalam al-Quran Allah turut berfirman yang bermaksud: “Pada hari ini kami
tutup mulut mereka; tangan mereka yang akan berkata kepada kami dan
kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang dahulu mereka
kerjakan.” (Surah Yassin: 65).
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menjaga anggota kita ini untuk
memulakan perkara yang baik. Janganlah kita menjadikan alam maya
terutama media sosial sebagai wakaf dosa. Sentiasalah berwaspada dengan
perkara yang ingin dikongsikan agar perkara yang diviralkan itu tidak
mengundang fitnah dan dosa yang berpanjangan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment