Wednesday, November 11, 2015
'Apa Muslihat Husam?' Takut PAS Dan UMNO Bersatu Ke?
ROMPIN : “Apa muslihat Husam sebenarnya?” Demikian soal Ketua Penerangan
Pas Pahang, Nazri Ahmad terhadap pendedahan bekas Naib Presiden Pas,
Datuk Husam Musa yang kononnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan
kerajaan perpaduan di Selangor.
Menurutnya, isu di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu
dibangkitkan lagi kerana sewaktu ia sedang hangat diperkatakan, Presiden
Pas sendiri telah memberikan penjelasan berkaitannya bagi menjernihkan
segala kekeruhan yang timbul.
“Saya memang hairan dengan tindakan Husam yang membuat pendedahan
sedemikian sedangkan isu melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor
itu telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
“Berdasarkan penjelasan Tok Guru Presiden pula, beliau bukan tawar untuk
bentuk kerajaan dengan cara bergabung dengan Umno sebaliknya ia disebut
secara umum iaitu tawaran kepada sesiapa yang mahu bersama dengan Pas
pada ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian Online 6 November lalu melaporkan bekas Naib Presiden Pas,
Datuk Husam Musa sekali lagi ‘menyerang’ partinya apabila mendakwa
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang untuk
bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.
Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar
Kedai Mulong, Kota Bharu yang dikongsi di Facebooknya yang seterusnya
menjadi viral dan mendapat pelbagai komen dan kritikan daripada netizen.
Dalam pada itu, Nazri yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan
Rompin itu turut mempersoalkan tindakan Husam yang seolah-olah bertujuan
menimbulkan keraguan di kalangan ahli dan kepimpinan Pas pasca muktamar
kepada presiden parti.
Beliau turut menyarankan kepada Husam supaya memberikan fokus untuk
bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan Kelantan masa ini dalam
membangunkan negeri termasuk menyelesaikan beberapa projek yang telah
bermula sewaktu beliau memegang jawatan Exco negeri.
“Jika ada apa-apa berkaitan parti dan kalau ia benar, maka gunakanlah
saluran dalaman parti yang ada untuk melakukan teguran kepada pihak
berkenaan. Tidak perlu saya mengajar cara menggunakan saluran itu kerana
Husam merupakan orang lama,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment