Wednesday, November 11, 2015

Apa Niat Bangkit Isu Parti Kepada Umum?

SHAH ALAM : Pas mempersoalkan niat sesetengah pihak dalam parti itu yang membangkitkan isu berkaitan parti bukan melalui saluran sepatutnya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya perkara yang dibangkitkan itu membawa kebaikan kepada parti, sepatutnya pihak tersebut mengemukakan fakta sah untuk diangkat kepada parti.

“Saya ingin tanya apa niat mereka bangkitkan isu berkaitan parti kepada media dan (melalui) surat terbuka?

“Jangan kita buat kenyataan dan dakwaan terhadap parti hanya kerana kita mendengar kenyataan daripada orang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya, tindakan itu tidak matang kerana ia hanya memberi kesan negatif kepada parti.

“Saya ingin menasihati pemimpin, bekas pemimpin dan ahli parti, jika ada apa-apa masalah guna saluran parti.

“Kami di Pejabat Agung Pas Pusat sentiasa terbuka menerima aduan sekiranya wujud masalah dalaman parti seperti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kita akan siasat dan ambil tindakan jika benar berlaku,” katanya.

Mengenai tindakan yang mungkin dikenakan terhadap Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kerana kelantangannya mengkritik parti, Takiyuddin berkata pihaknya masih belum menerima aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkenaan tindakan Husam itu.

“Hanya aduan tidak rasmi kita terima seperti Whatsapp dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Katanya, pihaknya lebih suka mengambil pendekatan menasihati dan menegur daripada tindakan (lebih tegas).

“Tetapi kalau keterlaluan, Pas Pusat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap parti,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk menentukan bentuk tindakan terhadap Husam yang lantang mengkritik parti (secara terbuka) kebelakangan ini. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment