Wednesday, November 11, 2015

Hati Budi Pemimpin Melayu-Islam Bila Turun Pangkat

Rupa-rupanya memang ada banyak persamaan dalam pemikiran dan reaksi yang ditunjukkan oleh orang-orang politik apabila menghadapi masa depan yang  agak suram dalam parti mereka sendiri.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, misalnya, menyatakan beliau akan tetap berjuang bersama parti walaupun tiada jawatan dalam kerajaan kerana beliau ialah ‘ahli Umno totok’.

Begitu juga dengan bekas Naib Presiden PAS, Husam Musa yang menegaskan bahawa kalau boleh ‘beliau tetap mahu menjadi ahli PAS sampai mati’.

Pernyataan dan ikrar begini adalah satu tindakan psikologi bahawa mereka sentiasa bersangka baik terhadap parti dan akan setia serta reda untuk terus berkhidmat kepada parti walaupun tiada jawatan tinggi.

Husam mahupun Muhyiddin dikelilingi pihak berdendam

Bagaimanapun soal salah-faham, hasad dengki dan irihati pihak tertentu dalam parti sering dan telah menolak mereka ke satu sudut yang mencemar nama baik mereka. Maka halal jika mereka bertindak balas.

Justeru tindak tanduk mereka lazimnya adalah bertentangan dengan ikrar yang dilafazkan. Baik Muhyiddin mahupun Husam kedua-duanya tidak sedikitpun terkilan mempersoal dan mengkritik halatuju parti masing-masing secara terbuka.

Sekali pandang tindakan mereka itu bolehlah dibaca sebagai ‘menegur kelemahan atau kepincangan’ dalam parti dan mahu bersikap telus dalam membuat penilaian terhadap keberkesanan pimpinan parti.

Bagaimanapun apabila dinilai secara terperinci kedua-duanya insaf dan akur apakah natijah teguran dan kritik yang dibuat secara terbuka itu. Dan, jika diamati lebih dekat, teguran-teguran mereka bersalut dendam.

Tidak kiralah dendam itu meresap daripada perasaan kecewa kerana tersingkir daripada tampuk pimpinan atau kekecewaan kerana jasa mereka tidak dikenang atau mereka berasa dinafikan hak untuk bersuara.

Apapun yang pasti teguran politik jika dibuat di depan khalayak dan meluas, sudah pasti akan mengenai sasaran – memburukkan imej parti, meremehkan nilai kepimpinan orang lain dan “menegakkan benang basah”.

Jika beginilah caranya kepimpinan Melayu-Islam, memang sukar disangkal aura, karisma dan kemuliaan perjuangan Islam mereka akan menjadi bahan yang akan dicebekkan oleh masyarakat, terutama generasi muda.

Beza 'buah catur' Muhyiddin dengan Husam

Namun di segi pendekatan ada sedikit perbezaan protes Muhyiddin dengan Husam. Sungguhpun kedua-duanya sering menghamburkan apa yang terbuku di dada dalam ceramah dan forum anjuran pihak bersimpati, Husam memilih cara yang lebih meluas jangkauan strategi membela dirinya.

Setiap kali ada sesuatu kritikan yang hendak dibuatnya terhadap kepimpinan parti atau kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS, beliau akan mengedarkan kenyataan media.

Kenyataan akan dikirimkan kepada berpuluh-puluh wartawan dan editor arus perdana mahupun penulis blog. Tentunya Husam mahu meraih liputan yang paling meluas. Ini boleh dibaca sebagai ‘teguran’ skala besar-besaran.

Apabila kenyataan atau pekeliling sedemikian diedarkan sudah tentu matlamatnya ialah untuk menyelar dan merobek seberapa parah yang mungkin terhadap kewibawaan parti yang beliau ingin ‘berjuang sampai mati’. Niatnya boleh dipersoalkan.

Muhyiddin bertindak agak sopan dan terkawal. Apabila dihulurkan mikrofon atau diminta berdiri di depan khalayak yang mahu mendengar perspektifnya berhubung perbezaan pendapatnya dengan parti, baru beliau bersuara.

Husam tidak demikian. Beliau mahu jika kritiknya membabitkan maruah dan citra parti, kritik itu mesti didengari dan difahami oleh semua orang tidak kira di dalam atau luar parti. Apa kesannya pada parti beliau tidak peduli.

Husam seolah 'gila talak'

Jika itu bukan aktiviti melondehkan masalah parti di khalayak ramai, apakah maksudnya? Justeru jika Husam mendakwa beliau tidak berubah dan masih ‘mengasihi partinya’ dan semua dilakukan ‘demi kasihnya’, beliau bertindak seolah orang gila talak.

Jika tidak dapat kembali tempatnya dalam rumah-tangga (kepimpinan parti) beliau akan berusaha supaya nama baik parti atau ‘kekasih yang sudah hampir menjadi jandanya’ itu juga dipandang serong oleh masyarakat.

Justeru adalah wajar jika tindakan Husam tidak mahu menyertai kawan-kawannya dari PAS suatu ketika dahulu yang melompat keluar menubuhkan parti Amanah Negara (PAN) dipersoalkan umum.

Adakah Husam masih mahu duduk dalam PAS hanya untuk melondehkan kelemahan PAS, terutama presidennya Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, supaya kesannya lebih meluas kerana kritikan itu dibuat oleh ahli PAS sendiri?

Atau, ia ada kena mengena dengan lafaz bai’ah yang pernah dibuatnya ketika dipilih PAS untuk menjadi calon parti itu dalam beberapa pilihan raya yang pernah ditandinginya?

Adakah untuk mengalih pandangan umum terhadap isu ini, kini Husam bangkit dengan segala kekuatan untuk mempertikaikan “kezaliman” yang dilakukan oleh PAS terhadap dirinya yang didakwa menjadi sasaran fitnah sejak sebelum pilihan raya parti Jun lalu?

Husam masih memegang jawatan Yang Dipertua PAS kawasan. Ini bererti beliau masih boleh bersuara dalam Dewan Pimpinan PAS Negeri Kelantan, jika ada isu yang terkilan di hatinya.

Bagaimanapun apabila beliau mendedahkan pelbagai isu yang boleh meremehkan halatuju parti dan kewibawaan presiden yang kini disindirnya autokratik, beliau sebenarnya menunjukkan ‘belangnya yang sebenar’.

Mungkin Husam mahu membuktikan betapa hodohnya imej PAS kini demi menghalalkan tindakannya apabila benar-benar melangkah meninggalkan PAS untuk selama-lamanya kerana ‘kasihnya pada parti itu sudah tidak berbalas’?

Jika beginilah tabiat contoh pemimpin Melayu-Islam, tidak hairanlah khazanah Melayu sarat dengan bidalan dan pepatah ‘tikam dari belakang’, ‘gunting dalam lipatan’ dan musuh dalam selimut.

Sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa. Dalam bahasa Melayu peribahasa berkenaan hanya mencerminkan hati budi pemimpin Melayu-Islam, umumnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment