Wednesday, November 11, 2015
Panassss!!!! Husam Digesa Keluar Dari PAS - Dewan Ulama
SHAH ALAM : Dewan Ulama PAS Pusat menyarankan Datuk Husam Musa
meninggalkan parti dan menyertai rakan-rakannya yang kini bersama Parti
Amanah Negara (Amanah), sekiranya beliau tidak lagi 'bersama' dengan
kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ujar Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, tindakan tersebut adalah yang
paling wajar dilakukan Husam berbanding berterusan mengkritik Hadi
secara terbuka bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.
"Rakan-rakan beliau sudah tinggalkan PAS dan menubuhkan Amanah, Datuk
Husam pun sama seperti rakan-rakannya, dia tewas dalam pemilihan dulu.
"Kalau tak puas hati dengan Tok Guru (Abdul Hadi Awang) atau PAS,
sepatutnya beliau sama-sama keluarlah mengasaskan Amanah. Tapi (Husam)
tak (pula) keluar. Saya pun tak tahu apa strateginya," katanya kepada
Antarapos.
Husam baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila mendakwa Hadi pernah
mengakui mahu bekerjasama dengan Umno semasa krisis Menteri Besar
Selangor tahun lalu.
ADUN Salor itu mengeluarkan kenyataan demikian dalam satu ceramah di
Kota Bharu, Khamis lalu, selain mendakwa Hadi sendiri mengakui
rancangannya itu semasa bersemuka dengan beberapa pemimpin parti.
Bagaimanapun, tegas Mahfodz, perkara yang dinyatakan Husam itu adalah
fitnah kerana isu berkenaan tidak pernah dibincangkan kepimpinan parti.
"Perkara (bergabung dengan Umno) besar macam itu tak boleh dibuat
berseorang, perlu dibawa dalam parti. Kalau dibawa dalam parti, mestilah
sama ada melalui Majlis Syura, PAS Pusat atau Dewan Harian. Tapi benda
itu tak ada," katanya lagi.
Husam dilihat kerap membuat teguran terbuka mutakhir ini, sama ada
terhadap kepimpinan parti mahupun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
Minggu lalu, bekas Naib Presiden PAS itu mengritik keputusan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang menaikkan elaun wakil rakyat dan
ahli pentadbiran, yang pada pandangan beliau tidak wajar dilakukan di
kala situasi ekonomi kini yang menghimpit rakyat.
Walaupun dilihat kritikal terhadap PAS, namun Husam menegaskan bahawa
dirinya tetap setia dengan perjuangan parti itu dan 'sebolehnya mahu
kekal dalam PAS sehingga mati'.
Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor itu bagaimanapun tidak menolak
kemungkinan pendirian Husam yang ingin kekal dalam parti itu bersangkut
paut dengan lafaz bai'ah.
"Kerana bai'ah di Kelantan yang diketuai Allahyarham Tok Guru Nik Aziz
yang telah mengusulkan satu bai'ah yang agak keras, negeri lain tak ada,
iaitu bai'ah taklik.
"Mungkin kerana takut melanggar bai'ah itu, dia kekal di dalam PAS.. Dan
saya rasa dia nak tunggu supaya diambil tindakan.. dengan pemecatannya
itu dia akan terlepas daripada tanggungjawab bai'ah," ujarnya lagi
sambil menambah, sebarang tindakan boleh dipertimbangkan oleh
Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya perkara berkenaan masih
berterusan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment