Wednesday, November 11, 2015
Henti Gelar Kaum Pendatang – PM
Seluruh rakyat digesa agar berhenti daripada
menggelarkan mana-mana kaum di negara ini sebagai pendatang bagi menjaga
sensitiviti serta keharmonian masyarakat majmuk yang terjalin sejak
sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu
jika dilakukan menampakkan seolah-olah kehadiran kaum tertentu di
negara ini tidak dianggap sebagai ‘saudara yang mempunyai
kewarganegaraan’.
“Ini bererti kita mesti menjaga perasaan semua kaum. Apa yang
sensitif pada mereka jangan kita nyatakan kerana masyarakat India hari
ini banyak berjasa kepada negara dengan ramai dalam kalangan mereka
sudah bergelar doktor, peguam selain terlibat dalam pembangunan industri
getah yang cukup penting kepada negara sejak sekian lama.
“Maka hari ini jangan kita gelar mereka sebagai pendatang kerana
tindakan itu seolah-olah mereka ini tidak dianggap sebagai saudara yang
mempunyai kewarganegaraan. Saya percaya kalau kita menolak sebarang
fahaman keterlaluan, itu asas yang cukup baik untuk negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000
pengunjung yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2015
di Dataran Kulim di sini hari ini.
Yang hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor,
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Besar, Datuk Seri
Mukhriz Tun Mahathir dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,
Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Kehadiran Perdana Menteri dan isteri nyata ditunggu-tunggu dengan
hadirin setia menanti dalam hujan renyai sejak dari pukul 6 petang bagi
menyambut ketibaan kedua-duanya yang tiba kira-kira pukul 9.30 malam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment