Wednesday, November 11, 2015
Jakim Terima Kritikan Perbaiki Kelemahan, Bukan Pandangan Ekstrem – Asyraf Wajdi
BANGI : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
mengalu-alukan kritikan bersifat membina tetapi bukan pandangan ekstrem
yang mahukan institusi itu dilenyapkan, kata Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata Jakim telah menyumbang kepada perkembangan Islam yang
positif di negara ini namun tidak menafikan institusi itu perlu menerima
kritikan untuk memperbaiki kelemahan bagi meningkatkan perkhidmatannya
kepada masyarakat.
“Kita tak pernah bersifat defensif apabila dikritik, tetapi bagi saya
pandangan supaya memansuhkan (Jakim) agak ekstrem dan kalau benar apa
yang dilaporkan, seolah-olah nak kembalikan Malaysia ke zaman Jahiliyyah
dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik
kenyataan anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul
Rahman, Tawfiq Tun Ismail, yang mahu Jakim dimansuhkan kerana dilihat
seolah-olah mencampuri kehidupan peribadi rakyat negara ini.
Asyraf Wajdi ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan
Komuniti ASEAN bertemakan Ketamadunan Islam dalam Komuniti ASEAN:
Cabaran dan Harapan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini
hari ini.
Asyraf Wajdi berkata isu itu tidak perlu dipanjangkan kerana ia tidak
mewakili suara majoriti sebaliknya hanya pandangan sebilangan individu
yang tidak memahami kerangka sejarah perkembangan Islam di negara ini.
“Saya rasa dalam suasana hari ini masyarakat Islam sudah mempunyai
kesedaran yang tinggi terhadap agama. Kita tidak boleh kembali kepada
zaman di mana kita boleh sewenang-wenangnya berfoya-foya dengan perkara
yang jelas diharamkan dalam Islam,” tambahnya.
Beliau sebelum ini turut dilaporkan sebagai berkata bahawa
tanggungjawab Jakim bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah
melibatkan isu global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan IS.
Asyraf Wajdi berkata untuk itu kewujudan Jakim tidak sepatutnya
dipersoalkan lagi kerana ia berperanan menyelaras hal ehwal agama Islam
dan berfungsi sebagai benteng bagi menangani sebarang agenda menggugat
kedudukan Islam di negara ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment