Wednesday, November 11, 2015

'Jangan Hanya Pandai Minta AP Saja' - Najib

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa pemegang Permit Import kenderaan (AP) tidak hanya bergantung kepada kerajaan untuk memberikan mereka permit berkenaan semata-mata, sebaliknya perlu bijak menggunakan peluang menggunakan AP yang dimiliki untuk mengembangkan perniagaan.

Mengambil contoh syarikat kumpulan Naza, Najib berkata, tidak banyak syarikat Bumiputera yang diberikan AP mampu mencontohi syarikat yang diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin itu yang kini berkembang pesat bukan sahaja dalam bidang automotif, tetapi juga sektor hartanah, makanan dan minuman (F&B), termasuk telekomunikasi.

"Bila kita beri AP kepada syarikat Bumiputera, kita hendak mereka gunakan untuk kembangkan perniagaan pada bidang lain.

 "Tidak banyak yang dapat AP boleh berjaya dalam bidang lain seperti Naza, jadi saya nak ucap tahniah, bukan saban tahun minta AP lagi, minta AP lagi," kata Najib, ketika berucap merasmikan Menara Naza di sini semalam.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Ahmad Maslan, serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain perasmian Menara Naza yang terletak bersebelahan dengan Menara Felda di Platinum Park, Naza turut menyambut ulang tahun ke-40 mereka hari ini sejak penubuhannya pada 1975.

"Menara ini merupakan satu pembangunan bersifat ikonik untuk Kuala Lumpur dan sekali gus pengiktirafan bagaimana Naza Group sejak ditubuhkan 40 tahun lalu muncul sebagai sebuah konglomerat Bumiputera yang kita boleh banggakan," kata Najib.

Beliau turut berkata, bukan mudah untuk sesebuah syarikat berkembang selepas kematian pengasasnya, yang mana berjaya dilakukan oleh syarikat Naza.

"Saya ucap tahniah setinggi-tingginya kepada Naza. Bukan mudah mencapai kejayaan, saya ada beberapa sebab mengapa saya boleh berkata demikian, kerana pertama dalam konteks kejayaan syarikat Bumiputera, Naza boleh dianggap antara syarikat konglomerat Bumiputera paling berjaya.

"Kedua, kejayaan ini merentasi 2 generasi, dari pengasas SM Nasimuddin, kepada anak-anaknya.

"Kita dapat melihat perjalanan merentasi 2 generasi dan dapat kekal dan terus berkembang maju ke hadapan. Ada syarikat tidak mampu bertahan melebihi zaman pengasasnya," kata Najib.

Sehubungan itu, beliau berkata, pencapaian oleh Naza adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

"Jadi inilah satu yang kita rasa bangga kejayaan keluarga SM Nasimuddin. Kita boleh lihat asal usulnya, bukan sahaja asasnya.

"Cuba kita bayangkan dari kedai roti kecil di Kuala Pilah, sampai ke menara Naza di Platinum Park, banyak yang boleh kita raikan," katanya, merujuk kepada asas perniagaan SM Nasimuddin. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment