Wednesday, November 11, 2015

Kerajaan Akan Banteras Aktiviti Pemerdagangan Manusia.. - Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan bertekad untuk membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di negara ini melalui memperketatkan undang-undang sedia ada.

Jelas Zahid, kerajaan kini sedang mempelajari kaedah yang digunakan United Kingdom (UK) bagi menangani aktiviti pemerdagangan manusia yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup kepada pesalah pemerdagangan manusia.


Tambah Zahid, hukuman 10 tahun penjara yang dikenakan kerajaan Malaysia terhadap pesalah aktiviti pemerdagangan manusia dilihat tidak memberi kesan yang positif, malah aktiviti tersebut semakin berleluasa di negara ini.


Oleh itu, Malaysia mungkin akan mengambil langkah dengan mengetatkan lagi Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludapan Migran (Atipsom).


Zahid berkata, Malaysia berkemungkinan besar akan mengikut langkah yang dilakukan UK dengan mengenakan hukuman penjara seumur hidup kerana hukuman yang dikenakan dibawah undang-undang Atipsom dilihat tidak memberi kesan pengurangan kepada aktiviti pemerdagangan ini.


Selain itu, kerajaan juga sedang mempelajari beberapa langkah yang dilakukan oleh UK bagi menghalang aktiviti penyeludapan ini dan akan menggunakan langkah-langkah tersebut bagi menangani isu ini.


"Di UK undang-undangnya ada peruntukan hukuman penjara seumur hidup sedangkan di Malaysia hukuman maksimum hanya 10 tahun penjara sahaja. Ini menjadikan Malaysia seolah-olah masih boleh bertoleransi terhadap kegiatan itu berbanding UK.


"Di UK mereka mengadakan jalinan dengan pihak NGO untuk memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa berkenaan yang menjalani proses pemulihan.


"Kami juga dimaklumkan tentang bagaimana pencegahan dilakukan bagi menyekat mangsa-mangsa ini daripada masuk ke UK. Antara lain mereka menjalinkan kerjasama dengan pejabat keduataan dan pejabat konsulat supaya mereka yang bakal masuk itu dapat disekat lebih awal," kata Zahid.


Secara lazimnya, apa yang dapat diperkatakan Zahid kini giat menjalankan tugasnya dengan amanah apabila beliau komited membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dan pencerobohan pengganas di negara ini.


Dapat dilihat, Zahid sebelum ini menjalankan tugasnya dengan menuntut ilmu di negara luar untuk membanteras pengganas yang menggunakan Malaysia sebagai transit untuk mereka meneruskan perjalanan.


Kini, Menteri Dalam Negeri itu juga komited membanteras aktiviti pemerdagangan manusia yang kian menjadi-jadi di negara ini, sekaligus dapat menyelamatkan nyawa mahupun maruah mangsa-mangsa aktiviti penyeludupan ini yang sering dijadikan hamba abdi dan pelacur. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment