Wednesday, November 11, 2015
Komuniti Islam ASEAN Boleh Jadi Contoh Kepada Dunia – Asyraf Wajdi
BANGI : Komuniti Islam ASEAN yang mempunyai
nilai kesederhanaan dan penuh adab tatasuli boleh menjadi contoh kepada
dunia agar Islam dilihat dalam kaca mata yang lebih positif, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata penekanan terhadap wasatiyyah atau kesederhanaan yang
dibawa oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini amat dekat dengan
komuniti Asia Tenggara yang mempunyai nilai sederhana dan toleransi.
“Inilah nilai yang harus kita promosikan supaya dunia dapat melihat
Islam dengan lebih positif dan menjadikan ASEAN sebagai model,”
katanya selepas merasmikan Persidangan Komuniti ASEAN bertemakan
Peradapan islam dalam Komuniti ASEAN: Cabaran dan Harapan, di sini hari
ini.
Asyraf Wajdi berkata potensi ASEAN itu boleh diserlahkan dengan
mewujudkan satu masyarakat yang berbilang adat budaya tetapi mempunyai
asas yang sama sekali gus menjadikan ASEAN lebih kuat dalam konteks
ekonomi, sosio politik dan pembangunan secara keseluruhannya.
“Saya kira dengan adanya nilai yang menjadi teras hidup masyarakat di
Asia Tenggara ini, kita dapat melonjak ASEAN dengan lebih tinggi,”
katanya.
Namun, katanya, ASEAN dengan populasi penduduk Islam terbesar di
dunia iaitu 257 juta orang, hari ini juga menghadapi cabaran terutamanya
elemen ekstremisme dan radikalisme yang begitu mudah meresap dalam
masyarakat.
“Ini cabaran paling besar yang perlu ditangani. Paling penting,
lonjakan tamadun Islam dan kerangka ilmu yang benar dan bukan memahami
Islam dalam kerangka sentimen yang membuta tuli,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment