Wednesday, November 11, 2015

Sultan Kelantan Harap Semua Pihak Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir

http://mynewshub.cc/wp-content/uploads/2014/12/sultan-gmbr-2.jpg
KOTA BAHARU : Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berharap semua pihak berada dalam siap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri ini pada musim tengkujuh tahun ini.

Baginda bertitah perancangan perlu diatur agar tidak berlaku perkara di luar jangkaan, kejutan dan kecemasan akibat bencana alam tersebut. 

“Pelan A, pelan B dan seterusnya, perlu diatur agar tidak berlaku perkara-perkara luar jangkaan, kejutan dan kecemasan,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-46 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Pada istiadat tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengetuai senarai 582 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian daripada Sultan Muhammad V. Sultan Muhammad V berkenan merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serta badan bukan kerajaan atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan kebajikan rakyat yang telah ditimpa musibah banjir pada tahun lepas.

“Beta berharap sebarang halangan dan masalah dalam pembinaan bantuan rumah kekal kepada mereka yang ditimpa musibah banjir dapat diatasi, bagi membolehkan rakyat Beta menikmati hidup seperti biasa. Beta difahamkan sebanyak 393 unit rumah telah siap dibina manakala 560 unit (rumah) sedang dalam pembinaan,” titah baginda.

Baginda juga bertitah projek hidro elektrik yang akan dibina di kawasan Nenggiri di Gua Musang oleh Tenaga Nasional Berhad dan beberapa lagi projek hidro yang bakal dibina di kawasan lain amat perlu bagi menyelamatkan negeri ini daripada banjir seperti tahun lepas yang agak dasyat di mana menyebabkan rakyat menderita akibat kemusnahan harta benda, tanaman dan mengorbankan nyawa.

Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri kerana telah memberi kerjasama yang baik dalam menyenarai projek-projek di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Kesebelas dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

Sultan Kelantan berharap projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini menjadi kenyataan memandangkan ia sebagai salah satu lapangan terbang tersibuk di Malaysia yang perlu diberi keutamaan.

“Beta percaya ia akan dapat menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai hab penerbangan antarabangsa secara terus, contohnya untuk penerbangan mengerjakan umrah dan haji ke tanah suci, ke negara Thailand, Vietnam dan lain-lain negara.

“Selain itu Beta menaruh keyakinan bahawa projek lain yang disenaraikan seperti lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai, Central Spine Road, rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan,” titah baginda. 

Baginda juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Kewangan di atas pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dijangka akan beroperasi pada awal tahun depan.

Sempena Tahun Melawat Kelantan 2016, baginda menyeru penggiat sector pelancongan dan pihak berkuasa tempatan memainkan peranan lebih aktif memantau dalam merancakkan produk pelancongan dan aspek kebersihan serta keceriaan Bandar di seluruh negeri ini.

Baginda juga mahu kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam memoden dan mengkomersialkan sektor pertanian bagi meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri dan taraf hidup rakyat.

Turut hadir pada istiadat tersebut Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment