Wednesday, November 11, 2015
Sabah Akan Tambah Keluasan Kawasan Perlindungan Penuh Kepada 30 Peratus – Musa
KOTA KINABALU : Sabah berada dalam landasan untuk meluaskan
saiz Kawasan Perlindungan Penuh (KPP) kepada 30 peratus daripada
keluasan tanah negeri dalam tempoh sedekad lagi, kata Ketua Menteri
Datuk Seri Musa Aman.
Beliau melahirkan rasa gembira berikutan setakat ini 21 peratus tanah
negeri telah diwartakan sebagai KPP, menjadikan ia terbaik di Malaysia
dan serantau.
Katanya peratusan tersebut melangkaui sasaran 10 peratus Kesatuan
Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar dan sasaran 17 peratus
pelbagai jenis ekosistem Konvensyen Kepelbagaian Biologi.
Musa berkata demikian semasa merasmikan International Conference on
Bridging Heart of Borneo (HoB) Landscapes and Beyond through Healthy
Watershed Corridors dan Sabah’s Ramsar Conference, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah penasihat Tropical Rainforest
Conservation and Research Centre (TRCRC) Bhd, Tun Abdullah Ahmad Badawi;
Pengerusi TRCRC Bhd Tun Jeanne Abdullah dan Pengarah Jabatan Hutan
Sabah Datuk Sam Mannan.
Musa menegaskan kerajaan negeri melalui jabatan hutan komIted kepada
inisiatif HoB, malah menyediakan empat juta hektar tanah negeri yang
meliputi hutan ekosistem tanah tinggi dan pedalaman.
“Inisiatif itu sejajar dengan misi jabatan hutan mematuhi prinsip
kelestarian pengurusan hutan dan pemuliharaan kepelbagaian bio,”
jelasnya.
Beliau menambah kejayaan lain yang dicapai oleh Sabah dalam
kerja-kerja pemuliharaan ialah Konvensyen Ramsar mengenai tanah paya
membabitkan enam tapak Ramsar di Malaysia; dan Tanah Paya Hilir
Kinabatangan-Segama merupakan yang terbesar meliputi tiga hutan simpan.
Mengenai persidangan itu ketua menteri Sabah itu berkata, ia menjadi
platform kepada peserta mengenal pasti sinergi terhadap insisiatif yang
sedia ada berkaitan pemuliharaan kawasan legeh dalam lingkungan koridor
ekologi dari landskap Hob kepada laut.
Persidangan dua hari itu dihadiri peserta antarabangsa dan tempatan
yang meliputi Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara dan
pengenalan kaedah bidang kuasa Perakuan Kelestarian Kelapa Sawit.
Pada majlis itu Musa turut menyaksikan majlis menandatangani surat
niat antara jabatan hutan dan pihak tempatan dan antarabangsa sebagai
usaha membentuk institusi pengurusan dan pemuliharaan ekosistem alam
sekitar di Sabah.
Beliau turut menerima replika cek RM12 juta dari jabatan hutan yang
diperoleh dari Jualan Lelong Balak Deramakot yang merupakan hasil
daripada julat keuntungan sekurang-kurangnya 80 peratus.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment