Wednesday, November 11, 2015

Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN Buktikan Puteri UMNO Bukan Tempelan

KUALA LUMPUR : Penganalisis politik tempatan, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, Pergerakan Puteri UMNO membuktikan kewujudan mereka bukanlah sebagai tempelan dalam arena politik tempatan apabila berjaya mengadakan persidangan sebagaimana program ASEAN Young Women Leadership Conference 2015 (AYWL2015) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), selama dua hari bermula hari ini.

Katanya, melalui persidangan ini gerakan lebih agresif untuk mencungkil bakat-bakat wanita muda dalam bidang kepimpinan dapat dibuat dan keluar daripada kepompong amalan tradisi dengan melahirkan generasi pemimpin wanita muda.

“Ada anggapan Puteri UMNO dianggap sebagai tempelan dan tidak memberi apa-apa fungsi kepada sistem politik hari ini. Ini adalah satu sangkaan yang salah di mana jika mereka boleh anjurkan program ASEAN sebesar ini maka sudah pasti mereka mempunyai ramai bakat terpendam.”

Jelasnya, hakikat sebenar adalah ramai wanita muda yang berbakat tetapi tidak diketengahkan sebagai pemimpin muda yang berkaliber.

“Pada masa sekarang sebagai wanita muda kita perlu keluar daripada kepompong ini. Tidak boleh beri peluang kepada orang yang kita nampak tidak berbakat tetapi menjadi pemimpin, itupun sekiranya kita mahukan perubahan.

“Kita boleh nampak usaha dan kesedaran itu ada tetapi ciri-ciri kepimpinan ini bukan bergantung kepada satu kumpulan sebaliknya adalah individu itu sendiri yang perlu ke hadapan dan mencari peluang yang lebih besar untuk kepentingan semua.

“Puteri UMNO telah menggerakkan usaha lebih agresif tanpa perlu takut dengan pihak lain malahan kata-kata yang kononnya parti pembangkang kini jauh lebih baik dikalangan kepimpinan wanita muda mereka juga perlu dinafikan,” ujarnya ketika ditemui selepas menjadi speaker bagi persidangan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ini.
DSC_1629slider
Tambahnya, golongan muda hari ini perlu bijak mencari peluang dalam bersaing dengan menggunakan isu-isu semasa sebagai bahan untuk mereka perjuangkan di kalangan mereka sendiri.

“Golongan muda perlu menjadikan Puteri UMNO sebagai alternatif untuk mengetengahkan bakat kepimpinan tanpa rasa takut atau terikat dengan satu-satu budaya yang rigid dalam tradisi kerana ketidakmampuan menangani keadaan semasa akan memberi tekanan kepada golongan ini untuk terus mengetengahkan bakat dan kredibiliti sebagai pemimpin. 

Adakah kita melihat wanita bawah 35 tahun tidak ada kredibiliti atau bakat untuk memimpin? Sebab itu saya katakan peluang ada tetapi perlu ada keberanian untuk keluar dari kepompong yang ada,” ujarnya lagi.

AYWLC 2015 menghimpunkan lebih 500 peserta wanita muda ASEAN khususnya ahli politik, pemimpin pelajar, usahawan, aktivis sosial dan wakil agensi awam serta badan-badan bukan kerajaan dalam lingkungan umur 18 hingga 35 tahun.

Persidangan itu bertemakan ‘Solidarity in Harmony’ berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dianjurkan bersama Malaysia Young Future Aspirations (MYFaR) serta Biro Antarabangsa dan IPT Pergerakan Puteri UMNO.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment