Wednesday, October 07, 2015

Amanah Mahu Tuntut Harta Sepencarian Dengan PAS.

Amanah tidak ada hak tuntut harta sepencarian

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mempunyai hak untuk menuntut sebarang ‘harta sepencarian’ selepas keluar daripada Pas.
http://www.nasionalis.my/wp-content/uploads/2015/04/nikamar.jpg
Sambil menyifatkan tuntutan Amanah itu sebagai tidak masuk akal, beliau berkata, parti tersebut sepatutnya tidak menimbulkan soal tersebut kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa harta untuk dituntut daripada Pas.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa dua markas di Pontian dan Bakri, Johor adalah milik Pas kerana telah diwakafkan kepada parti itu selama ini.

“Mana ada harta sepencarian, harta Pas, harta Pas, tidak ada kena-mengena dengan Amanah. Saya juga tidak faham apa maksud dia (Amanah) mengenai ‘harta sepencarian’.

“Amanah juga tidak mempunyai hak menuntut apa-apa kerana keluar daripada parti (Pas). 

Tindakan Amanah itu tidak betul, kalau begitu semua orang yang keluar daripada parti bolehlah tuntut,” katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Amanah yang menuntut ‘harta sepencarian’ termasuk mengambil alih dua markas Pas iaitu di Pontian dan Bakri, Johor yang selama ini diwakafkan kepada parti itu.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa parti itu telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Aset yang terdiri daripada kalangan peguam dan perunding hartanah bagi menangani isu membabitkan ‘harta sepencarian’ di Johor.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai masalah Pas Kelantan yang diserang dari dalam, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, situasi tersebut sepatutnya tidak berlaku sekiranya pemimpin menghormati perjuangan parti.

Beliau yang tidak merujuk mana-mana pemimpin Pas negeri ini berkata, di dalam sesebuah organisasi, sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu isu perlu melalui saluran yang betul termasuk dengan mengadakan perjumpaan.

“Kalau ada benda yang inginkan penjelasan, tidak puas hati, datang berjumpa, kita ikut saluran yang betul. Apa yang penting bukan dengan cara menyerang melalui media sosial atau siaran akhbar, ini bukan caranya,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment