Thursday, October 15, 2015
Anwar Saman Bekas Calon BN, Dr Mazlan
KUALA LUMPUR : Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mazlan Ismail, calon
Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13, kerana menuduhnya
memberi rasuah kepada hakim dan pendakwa.
Anwar, yang ketika ini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh
susulan sabitan kes liwat, juga memfailkan saman yang sama terhadap,
Sistem Televisyen Malaysia Bhd dan Utusan Melayu (M) Bhd kerana
menerbitkan perkataan fitnah itu.
Writ dan pernyataan tuntutan itu difailkan di pejabat pendaftar
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini melalui firma guaman Karpal
Singh & Co.
Beliau memohon sejumlah ganti rugi yang tidak ditentukan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Mazlan, yang dikalahkan Anwar untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh,
mendakwa menerima lebih 6,000 surat tanpa nama mendakwa Anwar membayar
Karpal Singh lebih RM50 juta sejak 2008 sebagai yuran guaman dan rasuah
kepada hakim dan pendakwa.
Karpal merupakan peguam Anwar dalam kes liwat keduanya yang melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Peguam itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada April tahun lepas.
Anwar berkata, Mazlan mengadakan sidang akhbar pada 2 Ogos, 2013 dan
membuat kenyataan fitnah itu yang disiarkan stesen televisyen berkenaan
pada malam sama.
Akhbar Utusan Malaysia menerbitkan kenyataan itu keesokan harinya.
Anwar berkata, kenyataan defendan itu membawa maksud beliau seorang
ahli politik yang tidak mempunyai integriti, bermoral rendah dan tidak
sesuai memegang jawatan awam kerana beliau memberi rasuah.
Katanya, ketika kenyataan itu dibuat, beliau merupakan ketua
pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh, serta tuduhan itu
membuatkan beliau dipandang rendah di mata orang ramai.
Beliau berkata, penerbit dan stesen televisyen itu mengamalkan
kewartawanan yang tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak mengesahkan
kenyataan Mazlan terlebih dahulu.
Anwar dan Karpal juga sebelum ini membuat laporan polis terhadap Mazlan, TV3 dan Utusan kerana menyiarkan berita palsu itu.
Bagaimanapun, polis hanya mengklasifikasikan laporan itu sebagai fitnah jenayah, tetapi tiada tindakan diambil.
Mereka berdua kemudiannya menghantar surat kepada peguam negara
ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail, bertanya tentang status laporan
mereka terhadap Mazlan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling
Jaya pada 4 Ogos, 2013.
Pada masa itu, Karpal berkata, beliau menjangkakan Gani akan memberi
perhatian khusus kepada kes itu kerana Mazlan turut mengaitkan kedua-dua
badan kehakiman dan pegawainya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment