Thursday, October 15, 2015
Situasi ‘Menang-Menang’ Dalam Kenaikan Harga Tol
EDITOR MENULIS...
15 OKTOBER 2015
Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kenaikan harga tol yang bakal
berkuatkuasa pada 15 Oktober 2015 (hari ini), berbagai-bagai persepsi dan tohmahan
negatif yang diterima.
Mereka kata minyak naik, tol pun nak naik dan paling tidak enak, pertanyaan ‘pedih’ tak cukup lagikah wang GST?
Sementelah ada yang mengutuk keras pengundi kerajaan Barisan Nasional dengan menyelar mereka bodoh kerana mengundi kerajaan.
Soalnya, adakah sekiranya parti Pakatan Rakyat atau pihak pembangkang
menjadi kerajaan boleh menjamin mereka tidak akan menaikkan harga tol,
minyak dan mengenakan cukai GST?
Tidak terfikirkah kita berkemungkinan berada di bawah kerajaan yang
dinaungi parti pembangkang keadaan menjadi lebih teruk lagi, apatah lagi
dengan ketiadaan pengalaman mengemudikan negara?
Masyarakat perlu memahami konsep perjanjian konsesi lebuh raya di
Malaysia. Hakikatnya, lebuh raya di Malaysia adalah nadi yang
menghubungkan kehidupan.
Malah terdapat 31 lebuh raya dibina sehingga kini sejak negara
mengecapi kemerdekaan. Sebagaimana yang kita maklum bahawa hampir 90
peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta dan GLC.
Kerajaan telah menganugerahkan konsesi dengan hak eksklusif kepada
mereka untuk membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya bagi
tempoh konsesi yang dipersetujui.
Ini adalah salah satu bentuk Public-Private Partnership yang
dipelopori oleh pihak kerajaan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir
Mohamad lagi.
Perkara ini dilakukan kerana terdapat kekangan dalam isu
perbendaharaan negara apalagi pembinaan infrastruktur menelan
perbelanjaan yang besar.
Memandangkan kerajaan mempunyai tanggungjawab membiayai dan membina
kemudahan insfrastruktur maka ia perlu melantik pihak swasta
melaksanakan pembinaan jalan raya atau lebuh raya dengan terma syarat
konsesi yang dipersetujui.
Malaysia, seperti kebanyakan negara lain di dunia perlu mengimbangi
perbelanjaan perbendaharaan negara mengikut keperluan seperti
pembangunan infrastruktur dengan keperluan asas lain seperti subsidi
kesihatan dan pendidikan.
Walaupun pembangunan infrastruktur mempunyai kesan positif ke atas
ekonomi negara, adalah tidak efisien bagi kerajaan untuk memberi
peruntukan yang besar daripada perbendaharaan negara ke arah penyediaan
infrastruktur.
Namun begitu, dana pembangunan projek-projek infrastruktur yang
menelan belanja bilion ringgit ini boleh disediakan oleh pihak kerajaan
dengan kutipan cukai pada kadar yang lebih tinggi.
Tetapi, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh
kerajaan kerana sudah pasti kenaikan cukai ini akan mendapat tentangan
dari rakyat.
Jadi, majoriti negara di dunia ini telah menyedari bahawa pihak
kerajaan secara sendirian tidak akan dapat menyediakan peruntukan yang
besar bagi menampung kos projek pembinaan infrastruktur.
Atas dasar itu, kerajaan membuat tawaran kepada sektor swasta untuk membina lebuh raya di Malaysia.
Masalah yang dihadapi oleh sektor awam dan kelebihan yang dimiliki
oleh sektor swasta boleh diselesaikan dengan mematerai sebuah perjanjian
kerjasama bagi membolehkan sektor swasta dengan segala sumber yang
dimilikinya menceburi industri penyediaan infrastruktur di Malaysia.
Pengguna jalan raya di Malaysia merungut apabila menghadapi kesesakan
terutamanya pada waktu puncak tetapi apabila tindakan pembaikan dan
naik taraf jalan dilakukan untuk mengatasi masalah kesesakan dilakukan,
mereka bukan sahaja masih merungut tetapi menuduh kerajaan yang
bukan-bukan tanpa memikirkan ia dikendalikan pihak swasta dengan kos
yang tinggi.
Dalam usaha menyediakan kemudahan lebuh raya khususnya di kawasan
bandar dalam mengelak kesesakan lalu lintas akibat pertambahan bilangan
kenderaan yang menggunakan lebuh raya, pelbagai usaha menaik taraf
dilakukan dan ia sudah pasti mengeluarkan kos tinggi.
Kutipan tol sedia ada hanya untuk menampung kos pembinaan lebuh raya
tidak mencukupi untuk urusan naik taraf serta pengubahsuaian jalan bagi
mengatasi kesesakan jalan raya.
Justeru, keselesaan menggunakan lebuh raya dengan kenaikan tol yang
sedikit adalah ‘situasi menang-menang’ yang hakikatnya sentiasa
kelihatan sukar diterima kenyataannya oleh masyarakat.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment