Thursday, October 15, 2015
Najib Gesa Penasihat Sains APEC Kongsi Kepakaran Tangani Jerebu
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa
penasihat sains bagi negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC)
berkongsi kepakaran dan cadangan untuk mengatasi jerebu bermusim yang
menjejaskan negara di Asia Tenggara.
Beliau berkata Malaysia terjejas teruk akibat keadaan itu sejak 18
tahun lepas dan terdapat keperluan untuk mengemukakan penyelesaian yang
lebih baik terhadap masalah itu.
“Saya harap penasihat sains ini boleh menasihati tentang bagaimana
kita boleh menangani dan mengekang (penggunaan) teknik tebang-dan-bakar
(dalam pertanian), bagaimana untuk mengelak kebakaran tanah gambut, sama
ada ia disengajakan atau disebabkan perubahan iklim.
“Jadi, saya amat berminat untuk mengetahui dapatan dan nasihat anda,”
kata Najib ketika merasmikan Mesyuarat Ketiga Ketua Penasihat Sains dan
Setara Ekonomi APEC di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris
Jusoh, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Tan Sri Zakri Abdul
Hamid dan Sir Peter Gluckman, yang juga Ketua Penasihat Sains kepada
perdana menteri New Zealand.
Najib berkata nasihat dan cadangan mereka berkemungkinan dikemukakan
dalam Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat APEC yang dijadual bulan depan
untuk dibincangkan selanjutnya.
Ucaptama beliau pada mesyuarat dua hari itu membawa tema ‘Membina
Asas bagi Nasihat Saintifik Ke arah Ekonomi Terangkum bagi Dunia yang
Lebih Baik.’
Perdana menteri menegaskan bahawa banyak cabaran yang digariskan
dalam abad ke-21 – paling ketara perubahan iklim, keselamatan makanan
dan air, tenaga, pembasmian kemiskinan, dan kesihatan – mempunyai
dimensi saintifik yang semakin rumit.
“Cabaran ini tidak boleh diselesaikan oleh sebuah negara sahaja,”
katanya, dan menambah, diplomasi dan kerjasama sains merupakan alat
penting agar persefahaman bersama dapat digalakkan manakala hubungan
antarabangsa pula ditambah baik.
Najib menarik perhatian bahawa mana-mana negara pun akan memerlukan
nasihat teknologi dan saintifik, dan ini lebih-lebih lagi semasa
berlakunya krisis serta bencana.
Mengambil usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370
sebagai contoh, Najib berkata misi itu membabitkan kerjasama saintifik
dan ketenteraan antarabangsa yang belum pernah berlaku sebelum ini,
dengan 26 negara menghulurkan bantuan.
“Malaysia semestinyalah terhutang budi peranan kerajaan Australia
sebagai peneraju dalam usaha pencarian yang rumit dan mencabar ini namun
tidak kurang penting adalah sumber serta sokongan berterusan kerajaan
China terhadap misi pencarian ini,” katanya.
Beliau berkata banjir buruk yang melanda beberapa negeri di
Semenanjung Malaysia tahun lepas dan insiden terbaru, gempa bumi di
Sabah, menjurus kepada keperluan bagi respons saintifik dan teknologi
untuk menangani bencana alam.
“Jelas bahawa sains dan teknologi sudah melaksanakan dan akan terus
melaksanakan peranan utama dalam pengurangan risiko bencana berkaitan
perubahan iklim, di masa depan,” katanya.
Najib berkata taksiran bahaya – magnitud, had masa dan anggaran kos –
serta teknologi atau teknik yang diperlukan untuk menghalang atau
mengurangkan impak adalah penting dalam membuat keputusan berdasarkan
pengetahuan.
“Ia amat penting, justeru, mereka yang bertanggungjawab dalam
menyediakan nasihat kepada kerajaan mesti melengkapkan diri dengan
pengetahuan dalam perkembangan saintifik yang terkini dalam pelbagai
bidang.
“Mereka mesti mempunyai akses kepada pemikir terbaik dalam bidang
sains dan teknologi untuk membentuk kerjasama dan mencari pendapat
apabila perlu. Saya percaya ini adalah bahagian paling penting dalam
menyatukan perspektif penasihat yang boleh digunakan dengan berkesan
oleh kerajaan, terutama sekali semasa berlaku krisis,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment