Thursday, October 15, 2015
Bajet 2016 Jamin Peluang Pendidikan Tinggi, Latihan Kemahiran Kepada Golongan B40 – Najib
Bajet 2016 yang akan dibentang 23 Oktober ini akan
terus menjamin peluang dan akses golongan isi rumah berpendapatan 40
peratus terendah (B40) kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran
agar mereka memperoleh pekerjaan yang stabil dan lebih baik, kata Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata Bajet 2016 juga akan menyediakan rumah mampu
milik, serta meningkatkan pendapatan, pemilikan kekayaan dan kualiti
hidup isi rumah golongan tersebut.
“Bajet 2016 ini adalah penting kerana kedudukan ekonomi global semasa
adalah amat mencabar. Tidak dapat dinafikan bahawa ketidaktentuan
ekonomi global yang kita lihat pada hari ini sedikit sebanyak
menjejaskan kedudukan ekonomi Malaysia dan menimbulkan kebimbangan
lapisan masyarakat tertentu.
“Dalam konteks ini, golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus
terendah (B40) adalah golongan yang paling mudah terjejas dan memerlukan
kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos
pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup,” kata Najib
menerusi catatan terbarunya di blog ‘NajibRazak.com’.
Namun begitu, katanya kerajaan perlu memastikan ekonomi modal bergiat
cergas agar terus menjana ekonomi rakyat yang mana kecerdasan kedua-dua
ekonomi ini perlu dipertingkatkan untuk membawa kedudukan negara
selaras dengan negara-negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Sementara itu, Najib berkata beliau akan mengemukakan idea yang
diberikan rakyat melalui kempen #Bajet2016 kepada Kementerian Kewangan
untuk penilaian secara menyeluruh.
Katanya daripada cadangan melalui kempen yang berlangsung sejak 1
hingga 18 Sept lepas, didapati ramai yang meminta kerajaan membantu
meringankan beban harian, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
“Selain itu, ramai juga yang menyuarakan pandangan mengenai harga kos rumah yang tinggi sehingga di luar kemampuan.
“Terdapat juga cadangan meminta kerajaan untuk bukan sahaja
meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah
Klang malah kerajaan disaran untuk melabur di dalam projek KTM atau LRT
yang baru di pusat-pusat bandar di negeri-negeri lain,” kata Perdana
Menteri.
Najib berkata dalam kaji selidik Bajet 2016 yang dijalankan melalui
laman blognya itu mulai 18 Sept sehingga 1 Okt lepas, kos sara hidup,
perumahan dan kehidupan di bandar, dan pendidikan merupakan tiga
kategori paling penting yang dipilih rakyat dalam pelaksanaan Bajet
2016.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment