Thursday, October 15, 2015
Tolong Bersihkan Nama Saya, Rayu Pemandu Teksi
KAJANG : Pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi
berkata, penahanannya kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes
penculikan budak lelaki berusia lima tahun di sini memalukan
keluarganya.
“Anak-anak saya malu atas apa yang berlaku. Tolong, tolong bersihkan
nama saya,” rayunya kepada pegawai polis apabila dia dibawa ke Mahkamah
Majistret untuk dibebaskan selepas ditahan seminggu untuk siasatan
lanjut berhubung kes itu.
“Saya hanya seorang pemandu teksi, saya tidak lakukan apa-apa,”
katanya yang mengenakan baju biru dan seluar jeans dan kelihatan
keletihan.
Hanizan ditahan bersama tiga lelaki lain dalam tempoh 24 jam susulan
penculikan budak lelaki berkenaan di hadapan tadika di Sungai Chua yang
dirakam menerusi CCTV.
Penculik berkenaan didakwa menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.
Selepas lapan jam diculik, Hanizan dilihat membawa kanak-kanak itu ke
kediamannya pada pukul 5.35 malam dan menyerahkannya kepada
keluarganya.
Pemandu teksi itu mendakwa menemui kanak-kanak itu yang bersendirian
di tepi jalan dan mengecamnya selepas gambarnya menjadi viral menerusi
media sosial.
Bagaimanapun, pemandu teksi itu enggan memaklumkan bagaimana dan dimana beliau menemui mangsa culik itu.
Hampir seminggu ditahan dan polis dengan rasminya mengesahkan beliau
tidak terlibat dalam kes penculikan itu, Hanizan dibebaskan mengikut
Seksyen 49, Kanun Prosedur Jenayah.
Bagaimanapun, tiga lagi yang ditahan didakwa di mahkamah pagi Jumaat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment