Thursday, October 15, 2015
Perkasa Tak Tersinggung Atau Rugi
SHAH ALAM : Perkasa tidak tersinggung malah menyatakan mereka tidak
rugi apa-apa dengan penolakan jalinan kerjasama Pas Selangor.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya menangkis dakwaan Pas
Selangor bahawa pertubuhan mereka rasis sebaliknya masih menghormati
bangsa lain di samping berusaha mempertahankan Perlembagaan Malaysia.
Katanya, Iskandar sebagai pemimpin tidak wajar mengeluarkan kenyataan
sedemikian kerana Pas sebuah parti politik yang memerlukan undi rakyat.
“Perkasa tak rugi apa-apa kerana kami tidak bertanding dalam pilihan
raya, malah kami NGO yang sedia membantu parti yang bertanding.
“Pesuruhjaya Pas Selangor mesti lebih berhati-hati dalam membuat
kenyataan kerana keadaan Pas di Selangor tidak seutuh dahulu. Hubungan
Pas dengan DAP retak dirumitkan lagi kewujudan Parti Amanah Negara
(Amanah) seharusnya mendekati pengundi dengan lebih berhemah,” katanya
kepada Sinar Harian, kelmarin.
Sementara itu, Abu Bakar menyatakan niat sebenar Perkasa mengatur
pertemuan dengan Pas kerana menghormati keberanian parti Islam berkenaan
menyingkir ahli yang tidak sehaluan dan memutuskan hubungan dengan DAP
kerana sering menentang perjuangan Islam dan menafikan hak istimewa
Melayu.
“Perkasa sangat mengagumi ketegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, malah dalam pertemuan kelmarin memang diputuskan untuk
menjalin kerjasama dalam beberapa perkara demi keselamatan negara
termasuk mengutuk TPP, menolak tangkapan terhadap bekas pemimpin akar
umbi Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang dan isu
1MDB,” katanya.
Sebelum itu, Pas Pusat menerima kunjungan hormat daripada Perkasa dan
pertemuan itu dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment