Thursday, October 08, 2015
Beranikah 10 Wakil Rakyat PAS Lompat Parti?
KOTA BAHARU : Suasana politik di Kelantan ketika ini sedikit 'panas'
apabila tersebar khabar angin kononnya 10 wakil rakyat daripada PAS akan
melompat parti dan menyertai Parti Amanah Rakyat (Amanah) awal tahun
depan.
Isu berkenaan mula timbul selepas Pengerusi Gerakan Harapan Baharu (GHB)
Mohamad Sabu melancarkan Amanah pada 31 Ogos lepas, dan isu itu terus
dimainkan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah
semasa melancarkan parti berkenaan di Kota Baharu, pada 11 Sept.
Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika
ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat
negeri Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV menafikan
dakwaan berkenaan dan berkata ia hanya strategi perang saraf pihak
lawan, semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
Difahamkan, 10 wakil rakyat terbabit terdiri daripada tiga anggota
Parlimen dan tujuh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari negeri ini.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara
Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff menjangkakan 10 wakil rakyat PAS
Kelantan akan menyertai Amanah selewat-lewatnya Januari depan tidak akan
menjadi kenyataan kerana masih terikat dengan bai'ah dan lafaz taklik
cerai talak tiga yang dipersetujui mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).
Ini kerana hampir semua alim ulama di Kelantan, termasuk Mufti Kelantan
Datuk Muhamad Shukri Muhamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud
Mohammad, sepakat bahawa bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang
dikenakan ke atas wakil rakyat PAS adalah sah, kata Kamarul Zaman.
"Sebaliknya, wakil rakyat PAS Kelantan yang keluar daripada PAS inilah
yang akan terancam kerana besar kemungkinan mereka tidak lagi akan
diterima oleh rakyat Kelantan jika mereka bertanding di atas tiket parti
lain dalam pilihan raya umum akan datang.
"Jika wakil rakyat PAS Kelantan tetap keluar daripada PAS di sebalik
bai'ah mereka ini, maka sudah tentu mereka akan menghadapi tekanan
daripada masyarakat setempat," katanya baru-baru ini.
Ditanya mengenai tindakan anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta
Ramli dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar yang menyertai
Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, Kamarul Zaman
berkata kedua-dua anggota Parlimen berkenaan tidak bimbang dipulaukan
masyarakat setempat kerana mereka bukan berasal dari Kelantan.
"Saya melihat bahawa faktor penerimaan daripada masyarakat setempat
menyebabkan sesuatu yang tidak begitu besar kebarangkaliannya untuk
wakil rakyat PAS Kelantan yang menetap di Kelantan keluar daripada PAS.
"Selain itu, Kamarudin sendiri contohnya pernah beberapa kali bertanding
di Tumpat di atas tiket Barisan Nasional (BN) tetapi tidak pernah
menang sehinggalah beliau bertanding di atas tiket PAS, sekali gus
menunjukkan kemenangan beliau bukanlah berpunca daripada populariti diri
beliau tetapi oleh parti yang beliau wakili," katanya.
PAS menguasai majoriti 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di
Kelantan, diikuti BN dengan 12 kerusi, manakala PKR hanya mempunyai satu
kerusi.
Kamarul Zaman berkata jika benar tujuh Adun PAS melompat parti dan
menyertai Amanah, PAS Kelantan masih mampu berdiri dengan utuh dan
mempunyai majoriti selesa.
"Jika pun 10 wakil rakyat PAS Kelantan, terutama tujuh Adunnya ini
benar-benar keluar daripada PAS menjelang Januari ini ia tetap tidak
akan mengganggu keutuhan Kerajaan PAS Kelantan kerana mereka masih tetap
mempunyai majoriti yang selesa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
tidak memungkinkan ia akan tumbang.
"Pada masa yang sama, kemungkinan untuk tujuh Adun PAS Kelantan yang
keluar daripada parti itu bergabung dengan wakil rakyat BN untuk cuba
menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan juga adalah terlalu kecil," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment