Thursday, October 08, 2015
Cakap Berlagaknya.... DAP Tak Perlukan PAS Untuk Menang PRU14 - Tony Pua
KUALA LUMPUR : PAS yang membuat keputusan tidak menyertai gabungan
baharu pembangkang terus diserang DAP malam tadi pada majlis makan
malam mengutip dana bagi parti serpihan mereka, Parti Amanah Negara
(Amanah).
Memetik laporan The Malaysian Insider, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua
berkata, PAS sebenarnya sudah mula tidak mempamerkan prestasi yang baik
di kubu kuat mereka Kelantan sejak kematian bekas mursyidul am Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Justeru katanya, gabungan baharu pembangkang yang kini dikenali sebagai
Pakatan Harapan akan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan
datang tanpa PAS sekalipun.
"Jadi tanpa PAS adakah kita akan mampu menang? Biar saya beritahu anda,
kita boleh. Ia tidak mudah ataupun percuma tetapi kita boleh.
"PAS semakin hilang kawalan di Kelantan. Kekurangan kerajaan negeri
Kelantan tidak begitu jelas semasa Nik Aziz ada tetapi sekarang orang
Kelantan tidak perlu lagi menaruh kepercayaan mereka terhadap kerajaan
negeri," katanya di Kuala Lumpur malam tadi.
Menurutnya, perkara itu jelas kelihatan sewaktu bencana banjir besar di
Kelantan hujung tahun lalu yang menyaksikan seolah-olah kerajaan negeri
"langsung tidak ada".
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu merujuk kepada kontroversi bantuan
kepada mangsa banjir di Kelantan hujung tahun lalu apabila kerajaan
negeri dan persekutuan dilihat sama-sama lambat menghulurkan bantuan.
Malah, DAP sendiri mengusahakan projek pembinaan semula rumah di negeri itu yang dikenali sebagai Impian Kelantan.
Hubungan DAP dan PAS putus secara rasmi apabila muktamar PAS yang lalu
meluluskan usul memutuskan hubungan dengan parti itu selepas Presiden
PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik bertali arus.
Hadi dikritik atas dakwaan culas menghadiri mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat (PR).
Beliau juga sering menggunakan kuasa vetonya dalam parti dengan
membangkang keputusan yang dibuat timbalannya pada masa itu, Mohamad
Sabu dalam mesyuarat majlis presiden PR.
Bercakap dalam majlis makan malam meraih dana Amanah semalam, Pua turut
mengungkit bangkangan Hadi terhadap keputusan persetujuan DAP dan PKR
mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri
besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, jika PAS menyertai gabungan baharu pembangkang sekalipun,
mereka tidak akan mempercayai parti itu yang semakin merosot
pentadbirannya.
"Jika bersama kita sekali pun, belum tentu prestasi mereka baik," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata partinya tidak
akan memutuskan hubungan dengan PAS walau apa cara sekali pun.
"Kita tak boleh bakar jambatan dengan mereka, kita tetap perlu bercakap
dengan mereka. Jika tidak, kita akan bertanding dalam suasana pilihan
raya yang sama-sama merugikan semua pihak.
"Ia mungkin OK buat DAP dan PAS (tidak bertegur sapa) tetapi kami perlu
mengemudi ruangan ini dan menjadi jambatan di antara mereka," katanya
sewaktu berada sepentas dengan Pua sewaktu sesi soal jawab selepas makan
malam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment