Saturday, October 17, 2015
Dahulu Lidah, Kini Hujung Jari Dijadikan Sebagai Agen Fitnah
KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO
Negeri Selangor Muhammad Nazri Mohd Amin memberi perumpamaan bahawa luka
akibat ketajaman senjata tidak seteruk kesan yang ditinggalkan oleh
lidah sebagaimana Imam Ghazali pernah mengungkapkan bahawa lidah lebih
tajam daripada pedang.
Menurutnya, ini dapat dilihat kerana kesannya lebih besar kepada
masyarakat secara berterusan serta mampu membawa keruntuhan sesebuah
institusi dan juga lebih teruk kepada kehancuran peradaban manusia itu
sendiri jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin.
“Itulah hakikat yang kini mula melanda di negara ini, apabila
segelintir pihak lebih suka menggunakan papan kekunci, menjadi pengganti
lidah menyalahguna teknologi sebagai medan menyebarkan perkara-perkara
yang belum tentu kesahihannya dengan harapan supaya individu yang
mendapatkan maklumat tersebut mempercayainya.
“Apa yang menjadi lebih
teruk, ada pihak-pihak yang tanpa segan-silu menyebarkan fitnah,
memutar belit fakta, semata-mata dengan niat untuk menjatuhkan seseorang
individu yang tidak disukainya bahkan, sehingga bersekongkol dengan
pihak sama ada dari dalam mahupun luar,” ujarnya kepada pihak media.
Sedangkan di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 telah
memberi peringatan yang jelas, sebagaimana terjemahannya “Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya
kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini
dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu
menyesali apa yang kamu telah lakukan”, katanya lagi.
“Jelas dalam ayat ini, Allah s.w.t. melarang kita percaya kepada
berita angin, perlu selidiki dahulu kesahihannya dan hendaklah sentiasa
berwaspada musuh-musuh akan sentiasa mencari kesempatan untuk
menjatuhkan orang Islam.
“Sebab itu apa sahaja ayat yang keluar dari mulut atau pena seseorang, melambangkan keperibadian individu tersebut.
“Jika yang dizahirkan perkara-perkara yang baik, maka baiklah
hasilnya dan sebaliknya jika yang tidak memberi manfaat, pasti
natijahnya mampu mencetuskan ketidakstabilan bukan sahaja kepada
individu tersebut malahan kepada masyarakat keseluruhannya,” ujar Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu.
Sehubungan itu, jadilah orang yang bertanggungjawab terhadap apa
sahaja nukilan yang dicetuskan, bukannya bersikap seperti ‘baling batu
sembunyi tangan’, tegasnya lagi.
Tambahnya lagi, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, mafhumnya “Sesungguhnya dalam
diri manusia itu ada seketul daging, jika daging itu baik, maka baiklah
seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor,
maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang
dimaksudkan ini adalah hati.”
“Kerana itu, pelbagai akta dan undang-undang yang berkaitan perlulah
dikuatkuasakan dengan sebaiknya supaya keharmonian masyarakat
terpelihara selaras dengan apa yang digariskan di dalam Maqasid Syariah.
“Peganglah sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang menyatakan orang Islam
sebenar ialah mereka yang menyelamatkan manusia daripada kejahatan lidah
dan tangannya sendiri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment