Monday, October 19, 2015

Dakwaan Ramai Pemimpin UMNO Sertai PKR Sekadar Ulang Tayang Skrip Lapuk

KLUANG : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata dakwaan PKR Johor kononnya beberapa lagi pemimpin UMNO bakal menyertai parti pembangkang tidak lebih sekadar satu skrip lapuk yang diulang tayang.

Jelasnya, tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Saifuddin Abdullah keluar parti tidak boleh dijadikan ukuran kerana sepanjang beliau berada dalam UMNO dirinya sendiri ibarat orang keliru dengan asas perjuangan UMNO.

“Dia hendak membawa perubahan dalam UMNO tetapi perubahan tersebut sepatutnya berlandaskan asas perjuangan UMNO iaitu memartabatkan agama bangsa dan negara.

“Sebagai contoh semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, beliau berjumpa dengan para pelajar yang menentang kerajaan, bukan untuk menjelaskan dasar kerajaan dan perjuangan UMNO tetapi ibarat menjadi duri dalam daging".

“Kalau dia sendiri tidak faham apa yang UMNO perjuangkan jadi bagaimana dia mahu bersama-sama UMNO. Mereka yang keluar parti bolehlah dikatakan bukan seorang yang setia dan bukan orang UMNO,” ujarnya kepada pihak media.

Mengambil contoh orang UMNO seperti Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jais menjelaskan, walaupun Muhyiddin digugurkan daripada kabinet tapi beliau sama sekali tidak mengambil tindakan keluar parti.
md-jais-sarday
“Berbeza pendapat dalam UMNO adalah perkara biasa tetapi tidaklah sehingga mahu mengkhianati parti. Jika kita lihat scenario politik masa kini sebenarnya, bolehlah digambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang kuat berbanding parti pembangkang.

“Walaupun UMNO mempunyai masalah tetapi ia ditangani dengan baik. Jika kita lihat Dap di Johor contohnya, ketuanya sendiri telah meletak jawatan… Dalam Pas pula sudah terbahagi dua iaitu antara Pas dan Parti Amanah.

“PKR pula terbahagi kepada kem Wan Azizah dan Azmin Ali… Ini berbeza dengan UMNO yang terus setia bersama presiden parti walau bercanggah pendapat,” katanya.

Selain itu, Jais turut menyarankan agar pembangkang untuk merenung parti mereka sendiri sebelum sibuk menjaga rumahtangga UMNO.

Ini kerana jelas beliau seorang demi seorang pemimpin tegar parti pembangkang keluar parti kerana tidak lagi mempercayai perjuangan pembangkang.

Terbaru, Ketua Pembangkang Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau telah meletakkan jawatan. Sebelum ini,  Dr. Chanra Muzaffar, Ezam Mohd Noor, Datuk S. Nallakarupan, Anuar Shaari, Lokman Noor Adam, Muhammad Zahid Md. Arip antara yang telah meninggalkan pakatan pembangkang..

“Jika hendak disenaraikan terlalu ramai yang telah meninggalkan pembangkang kerana tidak lagi mempercayai kredibiliti dan janji manis mereka yang tidak pernah tertunai”, ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment