Monday, October 19, 2015
KBCC Lambang Kemajuan Masyarakat Melayu Di Ibu Kota
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan
komited menjadikan Pusat Bandar Kampung Baru (KBCC) sebagai lambang
kemajuan masyarakat Melayu di ibu kota.
Menurut Perdana Menteri, KBCC adalah kawasan pusat tumpuan untuk
pembangunan Kampung Baru secara menyeluruh yang bakal merangkumi
projek-projek pembangunan pejabat, kediaman, hotel, kawasan rekreasi dan
infrastruktur moden.
Beliau memberitahu, pelan pembangunan Kampung Baru yang disusun
kerajaan meletakkan matlamat untuk memastikan masyarakat Melayu tidak
tercicir daripada arus pembangunan.
“Kalau kita sebut orang Melayu di Kuala Lumpur, saya tidak mahu orang
Melayu sinonim dengan kawasan-kawasan yang boleh dikatakan bertaraf
setinggan atau marhaen.
“Ini tidak boleh, saya hendak orang Melayu di Kampung Baru ini
dilihat sebagai komuniti yang maju dan mempunyai kedudukan ekonomi dan
status sosial yang dibanggakan,” katanya ketika berucap dalam majlis
mesra rakyat dan pecah tanah Projek Legasi di Kampung Baru di sini hari
ini.
Projek Legasi adalah projek UDA Holdings Bhd. (UDA) yang merupakan
pembangunan bercampur 30 tingkat pejabat dan 41 tingkat pangsapuri di
Kampung Baru.
Dalam lawatan kali keempat beliau di Kampung Baru, Najib turut
menunaikan solat asar di Masjid Jamek Kampung Baru yang telah
dibangunkan semula menerusi dana Yayasan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) selain menyampaikan sumbangan kerajaan bernilai RM9.5 juta
kepada penduduk yang terjejas kerana masalah tanah mendap.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor; Timbalannya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan; Timbalan
Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani; Datuk Bandar Kuala Lumpur,
Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan
Kampung Baru, Datuk Affendi Zahari.
Jelas Najib, beliau memuji peranan UDA yang bukan sahaja
melaksanakan pembangunan pejabat komersial tetapi juga pembangunan
perumahan mampu milik.
Katanya lagi, beliau sendiri memberi tumpuan khusus kepada
pembangunan Kampung Baru dengan dua projek utama telah diluluskan iaitu
pembinaan Pintu Gerbang KBCC di Jalan Raja Muda Musa dan laluan pejalan
kaki yang akan menghubungkan KBCC dengan Menara Berkembar Petronas
(KLCC).
Beliau memberitahu, pembangunan lain yang turut disusun adalah
pembinaan Pusat Kraftangan dan Kesenian Melayu, taman-taman landskap
serta hiasan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang bukan sahaja
menyerikan kawasan Kampung Baru tetapi juga menarik kehadiran pelancong.
“Ini cerminan hasrat kerajaan, Kita ada juga untuk orang lain
umpamanya Jalan Petaling dan Brickfields, kita juga ingin melihat
kedudukan orang Melayu sebagai komuniti yang berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut menasihatkan masyarakat Kampung Baru agar
tidak tergesa-gesa untuk menjual lot tanah masing-masing kerana harga
tanah di kawasan itu akan naik lebih tinggi menerusi konsep pembangunan
yang dibawa kerajaan.
Selain itu, Najib juga menyambut baik cadangan daripada Affendi agar
pusat pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipindahkan ke
kawasan KBCC untuk melonjakkan lagi pembangunan di Kampung Baru.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Seremban bila pula nak maju?? hehehe
ReplyDelete