Thursday, October 01, 2015
HARI KEMARAHAN... Kedutaan Amerika Jadi Tumpuan
Berang dengan keadaan semasa di Palestin... lebih 40 NGO akan berhimpun
di hadapan kedutaan Amerika Syarikat baru-baru ini bagi membantah
pencerobohan rejim Israel terhadap masjid suci Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Regim Zionis itu kini melakukan pembahagian masa dan ruang di Masjid
al-Aqsa yang sekaligus mengenakan sekatan untuk umat Islam memasuki
kawasan tanah suci tersebut hanya pada masa-masa dan kawasan-kawasan
yang tertentu sahaja.
Selain daripada masa yang ditetapkan untuk umat Islam, penduduk-penduduk
Yahudi bebas masuk ke dalam kawasan masjid untuk melakukan ritual
mereka.
Bantahan penduduk Palestin dibalas dengan tembakan peluru oleh rejim Zionis.
Perhimpunan di depan Kedutaan Amerika Syarikat yang dinamakan 'Hari
Kemarahan', akan diadakan selepas solat Jumaat, menurut jurucakap
Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahim.
Mohamad Raimi, yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, berkata
pada perhimpunan itu, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum
bantahan kepada kedutaan Amerika Syarikat, sekutu kuat Israel.
"Kita telah memaklumkan kepada pihak kedutaan mengenai perhimpunan aman
itu dan telah membuat permohonan kepada Polis Kuala Lumpur untuk
kebenaran menganjurkan perhimpunan itu. Setakat ini semuanya positif,"
katanya dalam sidang media mengenai perhimpunan itu, pada Rabu.
Sejak 24 Ogos lalu, Israel melakukan keganasan dan pencerobohan terhadap
Masjid Al-Aqsa termasuk menembak di dalam rumah ibadat itu serta cuba
memisahkan ruang 'ibadat dan masa' antara orang Islam dan Yahudi.
Mohamad Raimi berkata melalui Kempen Selamatkan Al-Quds, pihaknya juga
akan menyalurkan bantuan kewangan hasil derma orang ramai kepada usaha
pembelaan Masjid Al-Aqsa melalui 'Tabung Baitulmaqdis'.
Pada sidang media sama, Timbalan Pengerusi Viva Palestina Malaysia Siti
Jamilah Sheikh Abdullah berkata perhimpunan itu bukan saja boleh
dihadiri oleh umat Islam malah penganut agama lain, terutamanya penganut
Kristian.
"Orang Kristian juga terancam dengan tindakan rejim Israel yang kini
melaksanakan program Judaism di seluruh dunia. Jadi mereka juga boleh
sertai perhimpunan ini," katanya.
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia Abdul Ghani Samsudin
berkata rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan kaum perlu bersama
menentang tindakan Israel kini, yang menindas hak asasi manusia atas
tiket menentang keganasan.
Sidang media itu dihadiri wakil daripada Majlis Perundingan Pertubuhan
Islam Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Uswah, MyCare, Aqsa
Syarif, HALUAN, Yayasan Al Quds Malaysia dan Pertubuhan Kebudayaan
Palestin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment