Thursday, October 01, 2015
Himpunan Selamatkan Al-Quds Gabung UMNO, PAS Dan NGO
KUALA LUMPUR : Gabungan 40 NGO Malaysia hari ini merancang untuk
mengadakan Himpunan Selamatkan Al-Quds bagi menyatakan bantahan dan
kemarahan umat Islam terhadap percubaan tentera Israel untuk
membahagikan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahman
berkata, himpunan sempena Hari Kemarahan itu bakal diadakan di hadapan
Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, pada Jumaat ini.
"Himpunan Selamatkan Al-Quds di bawah kendalian Sekretariat Kempen
Selamatkan Al-Quds akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat,
Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.
"Himpunan ini juga bertujuan menyerahkan memorandum bantahan kepada
pihak kedutaan Amerika di atas pencerobohan Al-Quds oleh regim Zionis
Israel di Baitulmaqdis," katanya pada sidang media di Yayasan Hidayah,
di sini, hari ini.
Hadir sama, wakil-wakil parti politik, antaranya Pemuda Umno Malaysia,
Lajnah Antarabangsa Pas Pusat dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Sebelum ini, parti politik Hamas meminta Malaysia memainkan peranan
utama dalam melindungi Masjid Al-Aqsa daripada pencerobohan tentera
Israel khususnya pendudukan haram di Baitulmaqdis khususnya di Al-Aqsa.
Ketua Biro Politiknya, Khaled Meshaal berkata, tindakan regim Zionis itu
kini semakin membahayakan Masjid Al-Aqsa apabila cubaan untuk
membahagikan tempat ibadat umat Islam itu dengan mengenakan “de facto”
baharu.
Mengulas lanjut, Mohamad Raimi juga berkata, Masjid Al-Aqsa hari ini
mengalami pencabulan apabila regim Israel cuba mengenakan pembahagian
Al-Aqsa dari sudut masa dan ruang ibadat.
"Penafian hak oleh Zionis Israel ini tidak pernah berlaku sebelum ini di
mana orang Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa pada
masa-masa tertentu untuk memberi akses kepada proses pengyahudian Israel
di Masjid Al-Aqsa," katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment