Monday, October 26, 2015
Ini Bukan Soalan Mudah… Hamzah ‘Bantu’ Zahid Jelaskan Isu Muhyiddin
Ada soalan mudah dijawab dan ada yang mungkin sulit dan boleh mengundang
salah tafsir segala macam jika diputar.Apa lagi jika ia melibatkan
kedudukan sendiri.
Ini yang mungkin dirasai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid
Hamidi bila wartawan meminta beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden
UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu forum di Johor Baharu Sabtu
mengenai perubahan kepimpinan peringkat parti dan negara selepas
pilihanraya umum ke 12.
Muhyiddin antara lain dilaporkan berkata beliau pernah menolak saranan
Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi
sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke 12 pada 2008.
Muhyiddin mengaku bahawa beliau merupakan individu pertama yang mendesak
Datuk Seri Najib Tun Razak menerima jawatan Perdana Menteri ketika
proses peralihan kuasa itu.
Katanya keengganan beliau menafikan kedudukan Najib yang lebih senior ketika itu membuktikan kesetiaannya.
Beliau mempersoalkan kini UMNO meminggirkannya selepas digugurkan dari
Kabinet kerana secara terbuka mempersoalkan berhubung syarikat 1Malaysia
Development Bhd (1MDB).
Ketika ditanya soalan itu pada sidang media selepas merasmikan Hari
Pengguna Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur Ahad,Zahid
antara lain berkata beliau menghormati perasaan Muhyiddin.
Namun katanya Timbalan Presiden UMNO itu perlu itu "berhenti bernostalgia dan menerima realiti."
Katanya ahli UMNO perlu terus memberi sokongan dan menghormati pucuk pimpinan sekiranya mahu parti terus utuh.
Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata mereka juga tidak seharusnya
memberi pandangan berbeza terhadap kepimpinan sehingga boleh menjejaskan
parti.
"Kita harus berikan dokongan terhadap kepimpinan yang ada sekarang ini," katanya.
Melihat situasi yang rumit itu,Menteri KPDNKK Datuk Hamzah Zainuddin
yang duduk sebelahnya dalam sidang akhbar itu telah mencelah untuk
memberi pandangan beliau mengenai hal berkenaan.
Katanya adalah sukar bagi Zahid untuk bercakap mengenai hal yang dibangkitkan oleh Muhyiddin itu.
Beliau meminta Muhyiddin tidak membawa kisah lama dalam situasi sekarang.
Menurut Hamzah hakikat yang perlu difahami oleh semua orang ialah rakyat
yang memilih Perdana Menteri dan menjadi perogratif Perdana Menteri
untuk memilih timbalannya.
Katanya Dr Mahathir memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bukan Muhyiddin sebagai penganti beliau.
"Dan kemudian Pak Lah memilih orang lain sebagai penganti beliau
.Bagaimana Muhyiddin hendak mendakwa beliau diberi keutamaan,”katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai desakan sekumpulan anggota UMNO
dalam Bahagian Telok Kemang, yang mendakwa mewakili 13 cawangan parti
itu, supaya presiden parti meletakkan jawatan, Zahid berkata UMNO belum
menerima memorandum mengenai perkara itu.
"Jika kita terima memorandum itu, kita akan teliti," katanya.
Menurutnya ia cuma 13 cawangan dari lebih 20,000 cawangan UMNO yang ada di seluruh negara.
Kepada soalan lain ,Timbalan Perdana Menteri menolak dakwaan sesetengah
pihak bahawa peruntukan bagi Sarawak dalam Bajet 2016 adalah demi
memenangi pilihan raya negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata soal membeli undi tidak sepatutnya timbul kerana apa jua
peruntukan dalam bajet untuk Sarawak adalah kerana kerajaan persekutuan
sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat negeri itu mendapat faedah
dan perkhidmatan yang baik.
"Rakyat Sarawak memang wajar mendapat peruntukan khas (dalam
bajet)...bukan kerana mereka akan menghadapi pilihan raya negeri,"
katanya.
Dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu,
Putrajaya memperuntukkan lebih RM29 bilion untuk projek pembangunan dan
inisiatif untuk manfaat rakyat di Sabah dan Sarawak.
Antaranya, sejumlah RM260 juta diperuntukkan bagi memastikan harga
barangan di dua negeri itu ditetapkan pada kadar yang sama, di bawah
program 1Harga 1Sabah dan 1Harga 1Sarawak.
Selain itu, Najib mengumumkan bahawa Lebuhraya Pan-Borneo yang bakal
siap menjelang 2021 dengan anggaran kos RM28.9 bilion, tidak akan
dikenakan bayaran tol.
Zahid juga menjelaskan langkah menaikkan kadar cukai untuk golongan
berpendapatan tinggi adalah struktur percukaian yang progresif.
Beliau menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan seolah-olah
menjadi 'Robin Hood' dalam mengenakan cukai yang tinggi terhadap
golongan itu adalah persepsi pihak yang merasa 'tidak senang'.
"(Kenaikan) ini bukan merampas atau pengagihan semula pendapatan rakyat,
(sebaliknya) ini adalah struktur pencukaian progresif (yang turut)
terdapat di negara membangun dan maju.
"Kita dapati di beberapa negara ada tarif pencukaian yang lebih tinggi
dari Malaysia, (malah) ada negara yang hingga (maksimum) 50 peratus, dan
saya fikir itu tak akan berlaku di Malaysia.
"Maka jangan guna istilah pelbagai untuk beri gambaran buruk kepada dasar pencukaian," katanya.
Pembentangan bajet itu turut menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan
antara RM600,000 hingga RM1 juta akan dikenakan cukai 26 peratus
berbanding 25 peratus sekarang.
Bagi individu berpendapatan bercukai melebihi RM1 juta kadarnya dicadang dinaikkan tiga peratus kepada 28 peratus.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment