Thursday, October 01, 2015
Isu YDP MAIPP : Pendirian AMK Pulau Pinang Mengelirukan
SHAH ALAM : Pemuda Pas Pulau Pinang berkata, desakan AMK supaya wakil
parti Islam itu mengosongkan kerusi dalam Majlis Agama Islam Pulau
Pinang (MAIPP) bertentangan dengan pendirian Presiden PKR sebelum ini.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, cadangan AMK itu
agak mengelirukan sedangkan PKR masih meneruskan kerjasama politik
dengan Pas termasuk di negeri itu.
Beliau menegaskan, jawatan Yang Dipertua (YDP) dan ahli-ahli MAIPP
adalah di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang.
"Kami menasihatkan supaya semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong selaku ketua agama Islam bagi negeri Pulau Pinang.
"Walaupun pihak MMKN mempunyai kuasa untuk mencadangkan nama, namun ia
perlu tertakluk kepada kuasa prerogatif YDPA untuk menerima atau menolak
cadangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak dan Ketua Wanita
PKR, Nur Zarina Zakaria mendesak Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk
Mohd Salleh Man mengosongkan kerusi jawatan YDP MAIPP.
Asrol Sani berkata, desakan itu wajar kerana Pas tidak lagi bersama
dalam pentadbiran kerajaan negeri itu seperti yang diumumkan Ketua
Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, baru-baru ini.
Manakala Nur Zarina pula berkata, jawatan YDP MAIPP itu wajar diberikan
kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar dengan 10 Adun di
negeri itu.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi juga berkata, pihaknya akan meneruskan
tugas dalam kerajaan negeri seperti biasa sebagai amanah rakyat pada
PRU13 lalu.
"Jawatan dalam kerajaan adalah amanah daripada ALLAH SWT dan rakyat,
bukannya tempat untuk melunaskan kehendak politik kepartian semata-mata.
"Individu yang dilantik untuk membangunkan MAINPP dan Islam di Pulau
Pinang mengikut acuan pembangunan ALLAH SWT, bukan mengikut acuan nafsu
manusia," katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment