Thursday, October 01, 2015
Khutbah Bukan Pentas Politik, Kata ABIM
KUALA LUMPUR : Khutbah dan masjid tidak sewajarnya dijadikan sebagai
pentas politik kepada mana-mana parti politik untuk berdebat dan
bercakaran antara semasa mereka.
Demikian kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang baharu,
Mohamad Raimi Ab Rahim yang melahirkan kebimbangan itu kerana ia boleh
mengundang kepada isu agama yang lain.
"Kita tak nak jadikan khutbah dan masjid sebagai tempat untuk
menyalahkan mana-mana parti politik walaupun Islam dan politik itu tak
boleh dipisahkan.
"Khutbah untuk tujuan keharmonian agama, kemaslahatan masyarakat, kita
harap isu-isu menyalahkan parti politik yang kemudiannya ada reaksi
balas merupakan satu perkara yang tidak perlu berulang," katanya kepada
Sinar Online.
Beliau mengulas isu ancaman DAP Pahang pada 26 September lalu yang
menggesa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf berhubung teks
khutbah sempena Aidiladha mendakwa mereka menentang Islam.
Pengerusinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri memberi masa lima hari
bermula hari itu untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik
balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha dikeluarkan JAIP, umat Islam
dinasihati bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi
mengelak perpecahan di kalangan orang Melayu.
Dalam pada itu, Mohamad Raimi juga berkata, pemimpin parti politik
sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya platform untuk berdebat dan
berpolitik sedia ada dan tidak mencampuri institusi agama.
"Ya (jika dibiarkan), masing-masing akan menggunakan khutbah untuk
berdebat, politik ada medan perdebatan masing-masing, ada Dewan Undangan
Negeri, Parlimen atau di media.
"Saya fikir gunakan khutbah untuk perkara yang makruf kepada
masyarakat..khususnya isu melibatkan kepentingan negara dan umat Islam
seperti isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang dapat menyatupadukan
daripada perbalahan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata lagi, kedua-dua pihak harus menangani isu tersebut dengan matang dan tidak tergesa-gesa.
"Kita menggesa DAP supaya tidak tergesa-gesa mengambil tindakan undang-undang sehingga memperoleh penjelasan.
"Kita berharap agar isu-isu sebegini dan penyertaan mana-mana parti
politik dalam khutbah yang akan datang dapat dielakkan," katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment