Thursday, October 01, 2015
Wan Azizah Tidak Mudah Dapat Sokongan 25 MP
SHAH ALAM : Ahli parlimen pembangkang tidak akan mendapat sokongan 25
ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terhadap usul undi tidak percaya
yang bakal dibentang pada sidang Dewan Rakyat menjelang bulan hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata, ia kerana majoriti ahli parlimen mahu mengekalkan sokongan
masing-masing kepada Ketua Majlis Mesyuarat iaitu Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
“Mana-mana ahli Parlimen boleh membawa satu usul persendirian 'undi
tidak percaya' mengikut peruntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat dan ia
juga mungkin di bahas tertakluk juga kepada Peraturan Mesyuarat
berkaitan dengan urusan Kerajaan. Bagaimanapun, harus difahami, untuk
meluluskan mana-mana usul yang membabitkan pengundian, adalah penting
untuk mempunyai sekurang-kurangnya majoriti mudah, jika tidak, usul
tersebut akan tewas.
“Tidak dinafikan bahawa gabungan pembangkang yang mempunyai 87 ahli
Parlimen yang boleh membuang undi tidak percaya terhadap Najib sekiranya
usul ini di bahas dan di buka untuk diputuskan. Namun, angka itu tidak
mencukupi di mana gabungan itu memerlukan sekurang-kurangnya 25 lagi
ahli Parlimen untuk mencapai majoriti mudah bagi luluskan usul ini, yang
mana ini tidak mungkin akan berlaku,” katanya menerusi kenyataan, hari
ini.
Wan Azizah pada Ahad lalu menyatakan keyakinan ahli-ahli Parlimen
pembangkang dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Najib yang
bakal dibentang pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen nanti.
Bagaimanapun, gabungan pembangkang mempunyai 87 ahli Parlimen memerlukan
25 lagi ahli Parlimen untuk mencapai majoriti mudah dalam menyokong
usul tersebut.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, sebagai ahli
Parlimen, sememangnya menjadi preprogatif mana-mana ahli untuk membawa
satu usul persendirian mengikut peruntukkan di bawah Peraturan
Mesyuarat.
Pada masa yang sama, sama ada usul tersebut akan di bahas atau
sebaliknya juga tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang dengan
jelas menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat,
urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.
“Saya ingin tegaskan sememangnya tiada peruntukan khusus dalam peraturan
mesyuarat Dewan Rakyat bagi mengadakan 'undi tidak percaya' tetapi ini
tidak bermakna Parlimen tidak benarkan 'undi tidak percaya' di mana ia
masih boleh dikemukakan kepada Dewan sebagai satu usul persendirian
mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang dengan jelas menyatakan bahawa
apa-apa usul hendaklah di hantar kepada Setiausaha dengan bertulis tidak
kurang daripada empat belas hari, kecuali perkara khusus yang
disyaratkan di bawah Peraturan Mesyuarat 43, 86 (5) dan 26 (1).
“Parlimen Malaysia sememangnya sentiasa mendukung prinsip demokrasi yang
tinggi maka semua ahli Parlimen mempunyai hak mereka seperti mana yang
termaktub dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat.
Azalina turut memberi amaran kepada mana-mana ahli Parlimen untuk tidak
melakukan sabotaj atau cuba menggulingkan kerajaan yang telah dipilih
oleh rakyat dengan cara yang tidak demokratik.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira falsafah dan ideologi politik
masing-masing, harus sentiasa mendukung sistem pemerintahan demokrasi
berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia,”
katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment