Wednesday, October 21, 2015
Keputusan ‘Sukar’ Untuk Capai Bajet Seimbang Menjelang 2020, Kata PM Najib
KUALA LUMPUR : Kerajaan terpaksa membuat keputusan ‘sukar’,
seperti memansuhkan subsidi bahan api dan memperkenal Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST), bagi membolehkan negara merealisasikan bajet
seimbang.
”Seperti sasaran, kita yakin menjayakan bajet seimbang, atau hampir
sedekat mungkin, pada 2020,” katanya dalam ucapan pada Forum
Transformasi Global di sini hari ini.
Dalam merealisasikan sasaran itu, Najib yang juga Menteri Kewangan,
berkata beberapa keputusan sukar perlu diambil, termasuk memansuhkan
subsidi bahan api, dan pelaksanaan GST, pada April tahun ini.
Kedua-duanya kata Perdana Menteri merupakan antara keputusan paling
sukar yang diambil oleh kerajaan bagi menggalakkan daya saing serta
meningkatkan asas percukaian dengan ketara.
“Bukan semua orang suka dengan langkah ini. Namun tindakan itu perlu untuk kita meneruskan transformasi,” katanya.
Strategi perlu disusun semula bagi memastikan objektif dan hasrat
negara kekal teguh serta mengekalkan wawasan jangka panjang untuk
Malaysia dalam kekangan ekonomi global semasa, kata Najib.
Penurunan harga minyak dan komoditi, jangkaan peningkatan kadar
faedah oleh US serta penyusutan nilai Yuan China, sukar untuk negara
dagangan seperti Malaysia, katanya.
“Pelaburan semakin berkurangan. Saingan untuk pelabur global semakin
meningkat, dan ekonomi kita dalam kedudukan bahaya terperangkap dalam
kedudukan pendapatan sederhana. Perlu ada enjin pertumbuhan dan
pencergasan,” katanya.
Najib berkata negara perlu keluar daripada perangkap pendapatan
sederhana untuk meneruskan matlamatnya menjadi negara berstatus
pendapatan tinggi pada 2020.
“Kita perlu galakkan pertumbuhan, dan pada masa yang sama
mengurangkan ketidakcekapan – tanpa berkompromi ke atas taraf hidup.
Kita perlukan transformasi,” katanya.
Najib berkata defisit fiskal Malaysia melalui momentum positif setiap
tahun sejak bermulanya Program Transformasi Nasional pada 2010, susut
kepada 3.4 peratus tahun lepas berbanding 6.7 peratus pada 2009,
permulaan tahun pelaksanaan transformasi.
Pencapaian baharu dari segi defisit fiskal akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini semasa pembentangan Bajet 2016, katanya.
Pelan transformasi nasional yang meliputi Program Transformasi
Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, membantu menangani
pembangunan luar bandar, pengangkutan awam bandar dan membantu isi rumah
berpendapatan rendah.
“Ini menjadi inti pati transformasi kita memandangkan ia mesti
berkekalan dan terangkum. Kita mahu semuanya dikongsi bersama, tanpa
mengira usia, lokasi, kepercayaan dan etnik, kerana transformasi adalah
untuk semua rakyat Malaysia,” katanya Perdana Menteri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment