Wednesday, October 21, 2015

Malaysia Sedia Tambah Aset Bantu Padam Kebakaran Hutan Di Indonesia – Hishammuddin

KUALA LUMPUR : Malaysia bersedia menambah aset-aset ketenteraan serta aset daripada pelbagai agensi berkaitan bagi membantu memadam kebakaran hutan di Indonesia. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan telah dibuat dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat selain menambah penggunaan aset seperti pesawat Hercules C130 yang boleh digunakan untuk proses pembenihan awan bagi memadam kebakaran hutan.
http://newsdata2.bernama.com/bernama/newspic/am/FW387831_LIMA06_180315_AIR_CHIEFS-scr%20(2).jpg
“Saya sempat berbincang dengan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimana Bomba dan pasukan SMART mereka boleh membantu kita dan bagaimana kita boleh kerahkan lebih banyak pesawat Hercules C130 untuk proses pembenihan awan di Indonesia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Beliau berkata ketika ini, pesawat Bombardier CL 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dikerah untuk memadam kebakaran di Indonesia telah kembali ke negara ini bagi menjalani proses penyelenggaraan.

“Bombardier kembali untuk diselenggara sekejap sahaja kerana di rantau ini hanya Malaysia sahaja yang ada pesawat ini, kita ada dua tetapi satu lagi sedang diselenggara. Insya Allah hujung tahun ini kita boleh kerah semula ke Indonesia,” katanya. 

Hishammuddin berkata memandangkan masalah kekurangan aset adalah isu utama yang dihadapi pasukan keselamatan dalam membantu memadam kebakaran hutan di Indonesia, Malaysia mencadangkan negara itu meminta bantuan negara luar ASEAN seperti Jepun untuk turut serta dalam usaha itu. 

“Ini bukan saranan kita tetapi Indonesia. Kita boleh memberi cadangan kepada negara itu, dan pada masa ini mereka sedang mengenal pasti, termasuk Jepun untuk membantu kita. Sekiranya langkah itu tidak cukup, kita perlu lihat lebih daripada itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditemui pemberita berkata kementerian bersedia menghantar seramai 1,200 anggota bomba selain aset jabatan itu termasuk helikopter bagi membantu memadam kebakaran di Indonesia. 

“Bagaimanapun, kita tengah menunggu kebenaran kerajaan Indonesia untuk masuk…kita serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk bincangkan perkara ini,” katanya. 

Katanya sekiranya persetujuan telah dicapai, pasukan penyelamat itu akan dikerahkan selama dua minggu dan operasi pemadaman api akan tertumpu kepada permukaan tanah yang menyebabkan kebakaran berterusan.

Abdul Rahman berkata Malaysia juga akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Indonesia untuk memberi fokus kepada usaha menyelamat mangsa-mangsa, sekiranya keadaan memerlukan.

“Usaha untuk menggunakan kapal terbang untuk memadam api memang baik, tapi apa yang paling berkesan, individu yang ada di permukaan tanah kerana kebakaran itu berlaku di bawah tanah gambut jadi kita perlukan orang yang terpaksa bongkarkan tanah itu untuk padamkan kebakaran,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment