Wednesday, October 21, 2015
Penjawat Awam Johor Diminta Mantapkan Pendekatan Inovatif Dalam Perkhidmatan
JOHOR BAHARU : Penjawat awam di negeri ini diminta supaya
memantapkan pendekatan inovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan
awam yang dilihat sangat mendesak ketika ini.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini
kerana masyarakat hari ini semakin cerewet dan mendambakan kecekapan
yang lebih mantap daripada perkhidmatan awam selain dipengaruhi
perubahan masa dan keadaan.
“Wujud jurang yang sangat luas dalam sistem tatakelola perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.
“Ekonomi kita semakin dinamik, semakin berasaskan inovasi dan tidak
hanya bersandarkan kepada sumber alam serta hasil bumi. Maka, sistem
perkhidmatan awam yang tidak dikemaskini akan hanya merumitkan
pertumbuhan dan transformasi ekonomi Malaysia,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis
penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK)
Sektor Awam Peringkat Johor kali ke-28, di sini malam tadi.
Beliau berkata terdapat pelbagai cabaran utama yang mesti
diselesaikan jika perkhidmatan awam benar-benar serius untuk meraikan
inovasi dan kreativiti dalam sektor tersebut.
Katanya cabaran itu termasuk bersifat keterbukaan terhadap sesuatu
idea yang baharu dan tahap kesediaan untuk beralih ke dunia digital.
Menurut Mohamed Khaled, membudayakan inovasi dan kreativiti dalam
perkhidmatan awam bukan mudah malah inovasi dan kreativiti itu hanya
akan sekadar menjadi siulan sekiranya perkhidmatan awam tidak bersedia
bersikap terbuka mengenainya.
Dalam kesediaan untuk beralih kepada dunia digital pula, perkhidmatan
awam mesti memastikan sistem perkhidmatan mereka benar-benar beroperasi
berlandaskan sistem digital, terkini serta sesuai dengan arus teknologi
semasa, katanya.
“Wujudkan juga ruang untuk penjawat awam meneroka idea-idea di luar
kelaziman dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan terlalu tertutup
dengan cara lama, mesti berani mengambil risiko, berani mencuba sesuatu
yang baharu dan berani mengambil tanggungjawab kolektif,” katanya.
Sementara itu, 25 kumpulan daripada 21 jabatan dan agensi kerajaan di
negeri ini menyertai pertandingan Konvensyen KIK berkenaan dengan
kumpulan IDEAL dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul johan
kategori teknikal menerusi inovatif Mesin Rawatan Air Mudah
Alih@Ide-Aqua.
Kumpulan V-Team dari Majlis Perbandaran Kluang pula memenangi johan
kategori pengurusan menerusi ciptaan sistem pengurusan E-Vosc yang
berfungsi sebagai pentaksiran cukai secara sistematik dengan kedua-dua
kumpulan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi
iringan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment