Wednesday, October 21, 2015
Malaysia Akan Wujud Pusat Digital Pantau Ideologi, Propaganda IS – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR : Malaysia akan mewujudkan Pusat Serantau
Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) untuk memerangi
penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan IS menerusi
internet.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
Amerika Syarikat telah memilih Malaysia susulan komitmennya dalam
menangani ancaman keganasan antarabangsa dan kegiatan jenayah rentas
sempadan.
“Malaysia dipilih selain UAE (Emiriyah Arab Bersatu) kerana
kepercayaan atas komitmen kita terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dalam tangani keganasan.
“Oleh kerana banyak langkah merekrut telah dilakukan melalui sosial
media, pusat ini diwujudkan untuk memantau semua pergerakan yang
dijangka dilakukan pihak pengganas atau pihak berpotensi lakukan
keganasan.
“Dalam hal ini negara ASEAN, Australia, New Zealand dan beberapa
Negara terdekat akan gunakan pusat ini sebagai pusat rujukan,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan
Polis Asia 2015 (GPEC 2015) di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu sebanyak RM500 juta nilai
perjanjian pembelian aset dijangka ditandatangani PDRM dan agensi-agensi
di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan GPEC kali
keempat itu.
Katanya, PDRM bukan sahaja memperkuatkan latihan pegawai dan
anggotanya, malah perlu juga melengkapkan mereka dengan aset canggih
sesuai dengan peredaran semasa.
“PDRM memerlukan peralatan canggih ini untuk memantau dan membanteras keganasan,” katanya.
Sementara itu, mengenai Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini, Menteri Dalam Negeri itu
berkata pihaknya memberi tumpuan pada kemudahan penempatan pasukan
polis.
“Kami menjangkakan peruntukan diberikan untuk naik taraf kemudahan
penempatan serta membangunkan atau membina kemudahan baharu untuk
pasukan polis,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment