Wednesday, October 21, 2015
Tuduh Speaker Salah Guna Kuasa : Pandikar Tuntut Kit Siang Mohon Maaf
KUALA LUMPUR : Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menuntut
anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang membuat permohonan
maaf tanpa syarat ekoran kenyataannya menuduh beliau menyalah guna kuasa
sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat serta cuba mensabotaj siasatan
mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Pandikar Amin, sekiranya Lim tidak membuat permohonan maaf
dan menarik balik kenyataannya itu, tindakan akan diambil terhadap
beliau.
“Kalau Gelang Patah (Lim) tidak minta maaf tanpa syarat pada saya,
tak tarik balik (kenyataan), maka satu usul akan dibuat. Jadi minta
disampaikan kepada Gelang Patah, bila tiba masanya nanti, tarik balik,”
katanya.
Pandikar Amin mengambil
masa kira-kira 30 minit untuk menyampaikan keputusannya itu selepas
meminta laluan daripada Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala
Nerus) yang sedang membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan
Bersekutu 2015.
Semalam, Lim ketika mencelah hujah Mohamed Hanipa Maidin
(Amanah-Sepang) berhubung tafsiran Peraturan Mesyuarat 77(3) mengenai
prosiding mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ketika
ketiadaan pengerusi atau naib pengerusinya, berkata Yang Dipertua Dewan
Rakyat itu telah menggunakan kuasanya untuk menangguhkan mesyuarat PAC,
sedangkan kuasa itu tidak dinyatakan dalam mana-mana Peraturan
Mesyuarat.
“Tidak ada peruntukan beri kuasa kepada Tuan Yang Dipertua untuk
berhentikan satu jawatankuasa khasnya PAC daripada bermesyuarat.
“Adakah Yang Berhormat Sepang bersetuju ini satu salah guna kuasa
Tuan Yang Dipertua yang tidak patut berlaku dan ini merupakan satu
sabotaj penyiasatan 1MDB,” kata Lim.
Selain itu, Pandikar Amin turut memperjelaskan laporan media yang
dibuat Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung
cadangan untuk memfailkan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri
di Dewan Rakyat kali ini.
Dalam isu itu, Pandikar Amin mengingatkan bahawa sebarang usul
sepatutnya dibuat 14 hari sebelum sidang mesyuarat bermula bagi
membolehkannya dipertimbang dan diterima masuk pada sesuatu sesi
mesyuarat.
“Jadi jika usul itu difailkan sekarang, ia mungkin hanya diterima
masuk pada sesi mesyuarat akan datang, jadi jangan salahkan saya kalau
usul itu tidak diterima pada mesyuarat kali ini,” katanya yang turut
menuntut kefahaman daripada pihak pembangkang agar tidak mempolitikkan
keputusan itu kelak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment