Thursday, October 08, 2015
Khalid Enggan Campur Tangan Krisis PKR, Lihat Sahaja... Biar Rebah Terkulai Tak Apa
KUALA LUMPUR : Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim menegaskan beliau mengambil pendekatan hanya melihat dari luar
dan melibatkan diri dalam dakwaan wujudnya gerakan menubuhkan parti
baharu oleh ahli PKR.
Namun katanya, beliau tidak hairan sekiranya usaha itu wujud susulan kegagalan PKR mengurus parti itu dengan sebaiknya.
“Saya tidak berasa hairan sekiranya ada usaha daripada ahli PKR untuk
menubuhkan parti baharu bagi mewujudkan gerakan kuasa ketiga demi
mewujudkan suasana politik yg lebih seimbang.
“Saya percaya usaha pihak-pihak terbabit akibat daripada kegagalan PKR
mengurus parti mereka sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini. Terlalu
banyak aduan ahli parti yang gagal ditangani oleh pimpinan secara adil,
telus dan menyeluruh,” katanya dalam kemas kini status di Facebook,
hari ini.
Sebelum ini, ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau
Chegubard dilaporkan mendakwa ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan
aktivis parti itu berkomplot untuk menubuhkan parti baharu.
Sehubungan itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk melaksanakan
hak demokrasi mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan
Persekutuan.
“Saya menyedari tindakan parti-parti politik di dalam PR mutakhir ini
juga gagal menyediakan wadah yang lebih kondusif dan inklusif. Meskipun
demikian saya lebih suka mengambil pendekatan untuk melihat perkara ini
dari luar dan tidak langsung terlibat di dalam usaha mereka mewujudkan
gerakan pihak ketiga tersebut.
“Saya akan menumpukan kepada usaha dan memberi pandangan dari segi
memulihkan kedudukan ekonomi negara yang kini diasak dari dalam dan
luar,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment