Thursday, October 15, 2015
Kisah Sebenar Tragedi Kehilangan Murid Orang Asli
Polis Kelantan memberi penjelasan mengenai kejadian sebenar berhubung
kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang melarikan diri
dari asrama pada 23 Ogos lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, rentetan kejadian itu
bermula pada 22 Ogos apabila sekumpulan 25 murid sekolah itu keluar
mandi ke sungai berdekatan pada pukul 1 tengah hari dan pengawal sekolah
kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang warden.
Warden itu kemudiannya telah memanggil tiga daripada 25 murid terbabit
dan memaklumkan akan mengenakan hukuman ke atas mereka pada keesokan
harinya.
"Kira-kira pukul 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan telah
berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu
Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi," katanya ketika
taklimat pada Majlis Penyerahan Sumbangan oleh Yang Dipertua Badan Amal
dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI)
Datin Seri Rosmah Mansor di Auditorium Hospital Raja Perempuan Zainab II
(HRPZII) Kota Bharu tadi.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata pada pukul 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos pula
warden telah membuat pemeriksaan dan mendapati seramai 23 orang murid
asrama telah melarikan diri dan warden bersama Pembantu Pengurusan
Asrama, pengawal keselamatan dan dua orang penduduk kampung telah
mencari murid-murid berkenaan.
"Mereka kemudiannya telah bertemu dengan 16 murid-murid ini di satu
lokasi pada pukul 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama,
bagaimanapun tujuh belum ditemui sebelum pihak sekolah yang dibantu
penduduk kampung melakukan gerakan awal mencari mereka pada pukul 9
malam sehingga pukul 12.30 pagi keesokannya (24 Ogos).
Beliau berkata rancangan murid-murid berkenaan melarikan diri daripada
asrama sekolah tersebut diketahui hasil temubual yang dijalankan ke atas
16 murid yang kembali ke asrama selepas dipujuk oleh guru mereka.
Katanya, pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan
usaha pencarian bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan 1
kilometer (KM) dari kawasan sekolah serta berjumpa dengan ibu bapa
murid-murid berkenaan di Kampung Penad dan Kampung Gawin.
"Namun, selepas gagal menemui ketujuh-tujuh murid berkenaan di kampung
masing-masing, pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis pada
pukul 2.25 pagi pada 25 Ogos sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua
Musang menghantar lima anggotanya ke Pos Tohoi pada pukul 9.30 pagi
untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan," katanya.
Katanya, bermula pada 25 Ogos, operasi mencari dan menyelamat (SAR)
ketujuh-tujuh murid-murid berkenaan telah digerakkan, sekali gus menolak
dakwaan di laman-laman sosial yang mendakwa pasukan SAR hanya
melaksanakan operasi berkenaan pada 27 Ogos.
"Pihak sekolah juga lambat membuat laporan polis kerana pernah ada
kejadian murid bertindak melarikan diri dari asrama, namun ditemui
ketika mencari murid berkenaan di rumah mereka," katanya.
Mazlan berkata lebih daripada 350 anggota daripada pelbagai agensi
keselamatan dan awam telah terlibat dalam operasi berkenaan sehinggalah
pasukan SAR menemui mayat pertama pada 7 Okt lepas.
Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan SAR pada Jumaat lepas.
Mereka adalah antara tujuh murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor
melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut
dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa
kebenaran.
Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal
dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal
pasti. Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal
Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment