Thursday, October 15, 2015
KKM Hanya Beli Ubat Tanpa Alkohol – Dr Hilmi
KUALA LUMPUR : Semua ubat yang dikeluarkan mengikut tender
Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memenuhi syarat tidak mengandungi
alkohol, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Beliau berkata berdasarkan syarat itu produk sirap paracetamol 120
miligram/5 mililiter yang disahkan mengandungi alkohol, telah ditarik
balik daripada pasaran, walaupun produk itu selamat digunakan.
“KKM cuma beli ubat yang tidak ada alkohol. Apabila kandungan pada
label sisip kotak tidak tertulis peratusan isi kandungan alkohol, maka
kita telah arahkan tarik balik tetapi ubat itu masih selamat untuk
digunakan,” katanya mengulas tindakan kementerian menarik balik ubat
demam berkenaan daripada pasaran semalam kerana tidak mematuhi syarat
pelabelan.
Dr Hilmi berkata demikian ketika berucap merasmikan Wisma Yayasan
Kesihatan Mental (MHF) sempena hari Kesihatan Mental Sedunia di sini,
Khamis yang turut dihadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MHF Tan Sri
Dr Abu Hassan Omar dan tiga orang pengasas yang juga Ahli Pemegang
Amanah MHF, Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah, Dr Benjamin Chan Teck Ming dan
Salleh Ibrahim.
Dr Hilmi berkata KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan dan mengambil
sampel ubat di pasaran dan jika ia didapati tidak mematuhi syarat-syarat
yang ditetapkan, produk berkenaan akan ditarik balik atau dirampas.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa melihat kandungan ubat pada bungkusan kotak sebelum membelinya.
Dalam pada itu, Dr Hilmi meminta masyarakat, khususnya keluarga
pesakit mental supaya sentiasa memahami, mengambil tahu dan berkongsi
masalah yang dihadapi dengan pesakit mental.
“Saya berharap keluarga pesakit dan masyarakat faham masalah pesakit
mental dan jangan sisihkan mereka. Jika masyarakat buat begitu mereka
akan bertambah sakit,” katanya.
Apabila pesakit mental dijaga dengan baik dan diberi makan ubat
dengan sempurna mereka akan terkawal dan mampu berdikari, katanya.
Dr Hilmi berkata berdasarkan kajian pada 2006, sebanyak 11.2 peratus
daripada rakyat negara ini mengalami gangguan mental dan angka itu
dijangka meningkat setiap tahun.
Mengenai MHF, Dr Hilmi berkata pusat latihan di yayasan berkenaan
menyediakan pelbagai kursus kemahiran asas kepada pesakit mental seperti
memasak, menjahit dan bakeri dengan sasaran pesakit berkenaan mampu
berdikari dan menampung keperluan mereka apabila tamat tempoh kursus.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment