Monday, October 19, 2015
Ku Li Nafi Akan Sokong Undi Tak Percaya Terhadap PM
KUALA LUMPUR : Veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri
Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan bahawa beliau akan menyokong
usul undi tidak percaya yang dikemukakan terhadap Perdana Menteri.
Ketika ditanya mengenai perkara itu di lobi Parlimen pada Isnin, Tengku
Razaleigh berkata beliau tiada kaitan dengan sekumpulan MP Barisan
Nasional (BN) yang didakwa cuba menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak
sebagai Perdana Menteri.
"Saya tiada kaitan dengan perkara itu. Saya tidak ada mata-mata dalam
kumpulan itu, jadi bagaimana saya tahu apa yang mereka bincangkan?
"Marilah kita lihat apa yang mereka sedang rancang untuk lakukan. Saya
yakin mereka ada idea sendiri. Namun, setakat apa yang saya tahu, saya
tiada kaitan dengannya," kata beliau.
Tengku Razaleigh turut berkata peluang usul undi tidak percaya itu untuk
dikemukakan di Dewan Rakyat sangat tipis, melihat kepada fokus kini
lebih tertumpu kepada perkara lain seperti Bajet 2016.
Ditanya mengenai harapan beliau terhadap Bajet 2016, Tengku Razaleigh
berkata: "Ia sukar untuk diperkatakan. Kita tunggu sehingga 23 Oktober
ini."
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment