Thursday, October 15, 2015
Maklumat Bocor : Isu Integriti Tuntut Siasatan Segera
“Apa sudah jadi dengan pasukan penyiasat di kalangan agensi negara
apabila mereka tidak lagi mempunyai integriti dan tidak berpegang kepada
sumpah menyimpan rahsia?”.
Soalan itu dilontarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad
Zarkashi yang turut mempersoalkan kenapa tiada tindakan segera
berhubung kebocoran maklumat siasatan syarikat pembangunan strategik, 1
Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Perbuatan membocorkan dan menjual maklumat siasatan sebelum siasatan
dimuktamadkan bukan sahaja tidak adil terhadap pihak yang dituduh tetapi
ia boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap ekonomi negara, ia juga
boleh dianggap sebagai satu sabotaj dan cubaan mensabotaj ekonomi
negara,” katanya menerusi kenyataan, Rabu.
Menurutnya, beliau percaya terdapat kes penjualan maklumat dan bukan
sekadar pembocoran biasa, malah ada pihak yang cuba mendapat keuntungan
demi kepentingan peribadi dan politik.
Wall Street Journal (WSJ) sendiri pada 2 Julai lalu tegasnya, mengakui
media itu telah melihat dokumen siasatan dari penyiasat kerajaan.
Pada 9 September lalu, WSJ sekali lagi telah mengaku melihat draf
laporan interim siasatan Jabatan Audit Negara, dokumen sulit yang hanya
boleh dilihat Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, (PAC).
Lebih malang, Sarawak Report pula pada 11 Oktober terus terang tanpa
berselindung menyebut bahawa laporan mereka berasaskan dokumen yang
diperolehi daripada Bank Negara Malaysia.
“Pada 14 September 2015, saya telah mendesak Pihak Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya
menyiasat semua akaun semua Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
(PAC) untuk memastikan bahawa tidak berlaku sebarang transaksi kewangan
penjualan maklumat siasatan 1MDB kepada media asing, WSJ kerana saya
difahamkan 1MDB telah membuat laporan polis pada 12 Oktober 2015.
“Justeru saya mendesak pihak PDRM dan SPRM untuk membuka penyiasatan
segera dan terperinci dari setiap sudut termasuk ke atas akaun bank
semua ahli PAC, anggota BNM dan mana-mana pihak lain dengan perbuatan
membocor dan menjual maklumat peribadi dan rahsia,” tegasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment